Nancy mahu potensi belia Sarawak dimaksimumkan


SADONG JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri mahu potensi belia Sarawak dimaksimumkan seiring dengan matlamat yang digariskan dalam Dasar Belia Negara baharu yang akan dilaksanakan mulai 2018.

Beliau memberitahu, untuk itu setiap pemimpin barisan hadapan dalam agensi dan jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan badan korporat harus memainkan peranan untuk menyumbang kepada pembangunan potensi belia.

“Sebagai pemimpin di barisan hadapan, kita harus sedar bahawa kita mempunyai peranan penting dalam membimbing dan mempersiapkan golongan belia untuk menjadi kumpulan masyarakat yang dapat menyumbang bakti kepada pembangunan di Sarawak khasnya dan di Malaysia amnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Memperkasa Belia bertemakan ‘Belia Pemacu Kemajuan Masyarakat’ anjuran bersama JKKK Iboi Hulu, PPWS Daerah Sadong Jaya/Asajaya dan Cawangan PPWS Iboi Hulu, Jiran Wanita N20, COMBI Sadong, NGO Penyusuan Ibu Klinik Sadong, Belia N20 serta Pergerakan Pemuda dan Wanita PBB di Kampung Iboi Hulu di sini kelmarin.

Pada masa sama Nancy mengingatkan golongan belia agar berfikiran terbuka dan meletakkan setiap minda tentang konsep ‘mencabar diri’ untuk mengenal pasti potensi diri bagi meraih kejayaan yang lebih tinggi.

“Ini bererti kita harus menolak konsep ‘cukup sekadar di sini atau saya sudah berpuas hati dengan pencapaian yang telah saya kecapi’ kerana kita harus sedar bahawa dunia pada masa akan datang tidak lagi sama dengan apa yang kita ada pada masa ini.

“Apa yang bakal kita saksikan nanti ialah ekonomi berasaskan kreativiti dan inovasi serta berteknologi tinggi yang dikenali sebagai ‘indie capitalisme’,” jelas Ahli Parlimen Batang Sadong itu.

Beliau berkata ia adalah bentuk penjana pekerjaan yang akan menjana ekonomi masa depan dan oleh itu golongan belia harus melihat kepada ‘usaha’ sebagai inisiatif diri untuk lebih maju.

“Dengan memulakan satu langkah kecil sebagai ‘usaha’, sudah tentu langkah itu akan membawa belia kepada peluang yang lebih besar yang akan dapat memberi banyak nilai tambah kepada kualiti hidup diri seseorang belia itu sendiri,” tambahnya.

Justeru, beliau berharap penganjuran program seperti itu dapat diteruskan bagi mengubah paradigma yang mana belia menyertainya dapat menggunakan maklumat serta peluang yang ada di depan mata untuk menjadi ‘pencetus’ kepada inovasi baharu.

“Kita juga mahu belia bukan hanya sekadar menjadi ‘job seeker’ tetapi menjadi ‘job creator’ pada masa depan.

“Sebab itulah pentingnya bagi belia untuk mendekatkan diri, atau terlibat terus dengan aktiviti berpersatuan dalam memperkasakan diri dengan ilmu-ilmu yang akan membentuk cara pemikiran yang jauh ke hadapan,” ujarnya.

Menyentuh mengenai pembangunan di Sadong Jaya, Nancy berkata sebanyak RM80,000 telah diperuntukan bagi menaik taraf padang pola sepak Kampung Jaie dan Padang bola sepak Kampung Semera Masjid (RM70,000).

Bagi projek penyambungan jalan bernilai RM3 juta untuk pembinaan lorong-lorong jalan ke rumah dan RM6 juta untuk jalan kampung, manakala pembinaan perparitan konkrit di kampung-kampung di seluruh Sadong Jaya bernilai RM3 juta.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Sadong Jaya Aidel Lariwoo.-Utusan Borneo
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget