Kerajaan didakwa nafi hak penduduk menikmati bekalan air graviti


KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) menafikan hak penduduk Kampung Sangai Empani, Serian menikmati bekalan air graviti.

Pengerusinya Chong Chieng Jen berkata ia berikutan tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak membenarkan penyambungan paip baharu dibina oleh penduduk kampung itu yang diwakili Jawatankuasa Bekalan Air Bersih diketuai Saimon Empaluh.

“Kerajaan BN tidak patut menafikan hak penduduk Kampung Sangai Empani, Serian menikmati kemudahan asas iaitu air untuk menjalani kehidupan harian mereka,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Sidang media itu turut dihadiri beberapa ahli Jawatankuasa Bekalan Air Bersih Kampung Sangai Empani.

Menurut Chong, pada 2013 KKM bersama penduduk kampung itu membina sistem bekalan air graviti untuk kegunaan mereka bagaimanapun disebabkan perancangan tidak baik, sumber yang dipilih tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk.

Keadaan itu katanya, menyebabkan penduduk kampung berkenaan sering berdepan masalah tekanan air rendah terutama ketika kemarau.

“Tahun ini, atas permintaan penduduk kampung, pasukan Impian Sarawak DAP menemui sumber air yang lebih baik dengan kapasitinya lebih besar dan membina laluan paip daripada sumber air dibangunkan KKM sebelum ini.

“Bagaimanapun apabila kami dan penduduk kampung mahu menyambung saluran paip kami dengan saluran sedia ada, KKM mengeluarkan surat melarang pasukan kami melakukannya,” jelasnya sambil menambah saluran paip dari sumber kedua itu sepanjang dua kilometer.

Tambahnya disebabkan larangan itu, kerja-kerja penyambungan tidak dapat dilakukan dan penduduk kampung terpaksa mengangkut air daripada saluran paip dibuat DAP ke rumah mereka.

“Dalam hal ini, kerajaan BN perlu mengambil kira beberapa perkara sebelum melarang penyambungan dibuat iaitu sumber yang mereka kenal pasti dan dibina sistem paip graviti tidak mencukupi.

“Kos ditanggung KKM untuk projek itu walaupun dilakukan secara gotong-royong, lebih mahal daripada kos yang kami tanggung.

“Kami membelanjakan kurang RM50,000 untuk membeli batang paip dan bahan-bahan lain, tetapi difahamkan KKM membelanjakan RM300,000 bagi tujuan itu,” katanya.

Justeru ujarnya, jelas kerajaan BN mengutamakan kepentingan politik daripada kesengsaraan ditanggung rakyat lebih-lebih lagi penduduk Kampung Sungai Empani.

“Sikap pentingkan diri sendiri ditunjukkan BN sanggup melakukan apa sahaja untuk mengekalkan kuasa politiknya walaupun terpaksa mengorbankan rakyat,” ujarnya.

Sementara itu surat larangan penyambungan paip itu yang bertarikh 28 Ogos 2015 ditandatangani Pegawai Kesihatan Daerah Serian dan salinannya turut diberikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup Martin Ben.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget