Mahu lebih jawatan? Kerja kuat, kata PM pada MCA


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata MCA perlu bekerja kuat demi mendapatkan lebih sokongan komuniti Cina jika parti itu ingin memegang lebih jawatan dalam kerajaan.

Beliau yang juga pengerusi BN berkata sikap 'bertolak ansur' diperlukan untuk memastikan rasa keadilan sosial di negara ini.

"Kamu beri sedikit, dan ambil sedikit. Kamu tak boleh ambil semua, kamu ambil sedikit.

"Jika kamu mahu banyak, tolong bagilah lagi.

"Kamu mahu banyak jawatan dalam kerajaan, kamu tambah sokongan kamu kepada BN," katanya sewaktu merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA hari ini.

Sebagai rakan komponen BN terbesar yang hanya memenangi tujuh kerusi parlimen dan 11 kerusi DUN pada pilihan raya umum 2013, Najib berkata beliau berasa sakit telinga bila rakyat mempermain-mainkan MCA sebagai parti '7-eleven'.

Bagaimanapun, beliau yang juga presiden Umno melahirkan keyakinan bahawa sokongan terhadap mereka boleh dimenangi semula.

"Mari kita bina perkara ini. Mari kita beritahu rakyat, cukuplah. Kita mesti bangkit semula, dan kita boleh melakukan. Jika kita bersama, kita boleh melakukannya.

"Saya percaya bahawa kalau bersama, kita akan menjadi lebih kuat. Ia tidak mustahil, hanya membaca mood rakyat," katanya kepada lebih 1,700 perwakilan yang hadir di Wisma MCA.

Sementara itu Bernama melaporkan MCA bukan rakan kongsi yang tidak aktif dalam BN, demikian ditegaskan Najib hari ini.

Sebaliknya, beliau berkata parti komponen kedua terbesar BN itu sentiasa menyuarakan pandangan mereka atas pelbagai isu nasional terutama yang berkaitan dengan masyarakat Cina melalui saluran yang betul dan di dalam sistem BN yang ada seperti dalam mesyuarat Kabinet dan mesyuarat Majlis BN.

"Suara masyarakat Cina disampaikan melalui MCA. MCA bagi pendapat secara berhemah dan bukan dengan cara biadap, namun tegas.

"Apa jua isu, sama ada demonstrasi baju kuning atau baju merah, insiden (Plaza) Low Yat, dan 1MDB, MCA sentiasa memberi pandangan mereka. Dan saya menghormati pandangan mereka. Tak betul kalau DAP cakap MCA sebagai rakan tidak aktif," katanya dalam ucaptama semasa merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan ke-62 MCA di Wisma MCA, di ibu negara.

Beliau juga berkata bekerja dalam lingkungan sistem bagi menangani sesuatu isu adalah lebih berkesan dan dihormati daripada menjerit dan bercakap mengenainya di luar.

Dalam perkembangan lain, Najib yang juga pengerusi BN menggesa masyarakat Cina supaya terus yakin dan menyokong BN dari segi tindakan dan perbuatan.

Najib berkata beliau juga mahu masyarakat Cina berada dalam arus perdana bagi membangunkan negara.

Katanya sebagai presiden UMNO, beliau juga berikrar untuk terus bekerjasama sebaik mungkin dengan MCA yang merupakan rakan seperjuangan sejak sebelum merdeka.

"Saya memerlukan sokongan masyarakat Cina untuk menjadi rakan kongsi utama dalam politik, ekonomi dan pembangunan sosial di negara ini. Jika kita bersama-sama, kita boleh mencapai sesuatu yang lebih besar untuk Malaysia," katanya.

Menyentuh mengenai ekstremisme, perdana menteri juga menggesa rakyat Malaysia untuk menolak sebarang bentuk ekstremisme, sama ada keganasan melampau atau ekstremis kaum di negara ini.

Beliau menegaskan dasar BN adalah berteraskan kepada kepelbagaian bangsa, agama dan budaya yang telah ditentukan oleh pengasas negara ini, dan sebarang sikap yang bertentangan dengan nilai-nilai kesederhanaan BN adalah tidak digalakkan.

"Sebab itu kalau ada suara-suara yang berkata, kita harus hapuskan sekolah jenis kebangsaan dan wujudkan sekolah satu aliran, itu bukan dasar BN," katanya.-Malaysiakini

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget