Gramong kecewa keputusan pilihan raya kurang memuaskan


KANOWIT: Menteri Muda Pelancongan (Acara dan Produk) Datuk Gramong Juna melahirkan rasa kecewa berikutan keputusan pada setiap pilihan raya di sesetengah tempat di kawasannya masih kurang memuaskan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan itu berkata, beliau berasa hairan kenapa segelintir rakyat di kawasannya masih buta menilai tanggugjawabnya selama ini.

“Saya menjadi wakil rakyat sejak 1978. Banyak pembangunan yang telah saya laksanakan namun ada sesetengah tempat masih belum menunjukkan sokongan memuaskan kepada saya walaupun banyak pembangunan saya laksanakan di situ.

“Ada antara rakan saya bekerjasama erat dengan saya untuk mendapatkan sesuatu projek, namun apabila projek itu sudah digenggam mereka menjauhkan diri daripada saya pada saat saya memerlukan mereka.

“Itulah menyebabkan saya berasa hairan dan kurang berpuas hati dengan sikap rakyat sebegini yang tidak tahu mengenang jasa kerajaan,” katanya pada Majlis Ulang Tahun Kelapan Tokong Tai Wong Kung di Penyulau, dekat sini semalam.

Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Maurice Giri, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kanowit Jabang Juntan, Pegawai Penerangan Daerah Kanowit Donny Minggu Ling, Temenggung Tan Tian Ho, Pemanca Chia Chau Fa, Pemanca Spencer Kudang dan pengerusi pengelola Kapitan Kong Nguk Khee.

Menteri Muda Kemajuan Tanah itu menegaskan bahawa individu yang tidak bekerja keras sebaliknya mendapat undi.

“Individu atau pihak berkenaan hanya tahu cakap sahaja tanpa ada tindakan mendapat sokongan rakyat.

“Inilah yang pelik, berbanding saya yang bekerja keras turun padang serta selalu mendampingi rakyat masih belum memuaskan hati rakyat. Apa lagi kekurangan saya?,” soalnya.

Justeru, beliau memohon rakyat agar memberi mandat sepenuhnya kepadanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dan lihat serta mengimbas balik apa yang beliau laksanakan di sini.

“Saya berharap pada PRN yang hanya tinggal beberapa bulan lagi, saya mampu memperolehi majoriti undi banyak berbanding sebelum ini.

“Banyak pengorbanan dan jasa saya telah buat di sini. Saya merasakan diri saya telah bekerja keras membangunkan Kanowit,” tambahnya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan dirinya tidak sempurna kerana hanya manusia biasa tetapi sekurang-kurangnya masih dapat berkhidmat dengan sebaik mungkin dan sentiasa akan buat yang terbaik untuk rakyat.

Sementara itu, beliau menasihati rakyat agar tidak terpengaruh dengan politik-politik tertentu yang hanya menghasut fikiran rakyat agar membenci kerajaan.

“Berhati-hati dengan golongan ini kerana PRN bakal tiba tidak lama lagi.

“Sudah pasti golongan ini menggunakan isu-isu di Semenanjung Malaysia untuk mempengaruhi rakyat bagi menjatuhkan kerajaan BN negeri ini.

“Tiada lain selain kerajaan BN merupakan tonggak pembangunan kepada negara ini. Tiada parti lain,” jelasnya sambil memuji Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang dianggap sebagai penjaga hak orang Sarawak sambil menyelesaikan sebanyak 38 perkara untuk negeri ini.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget