Exco Agama Pulau Pinang, Dato’ Abdul Malik Kassim berkata, JHEAIPP telah menerima 10 aduan daripada orang Islam yang tidak puas hati penggunaan pembesar suara di luar masjid dan surau bagi bacaan zikir selepas solat, ceramah atau kuliah, rakaman al-Quran dan zikir sebelum azan sepanjang Januari 2012 sehingga Mei 2015.
Katanya, JHEAIPP melalui Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau telah mengadakan siasatan dan pertemuan dengan para pengadu dan mendapati aduan mereka berasas.
“Sebuah kertas laporan dan cadangan daripada JHEAIPP berkaitan aduan berkenaan telah dipanjangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya.
“Kertas cadangan itu kemudiannya telah dibincangkan daripada pelbagai sudut oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 1 dan 2 Julai. Keputusan sebulat suara itu disahkan pada mesyuarat jawatankuasa yang sama pada 23 dan 24 Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan media.
Abdul Malik berkata, keputusan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri sebelum diangkat kepada Yang DiPertuan Agong untuk mendapat perkenan Baginda.
Katanya, setelah diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong, fatwa itu akan digazet dan dipanjangkan kepada JHEAIPP untuk tindakan penguatkuasaan.
“Pihak kerajaan negeri akan memutuskan pada masa tertentu dengan cara terbaik bagi mengendalikan perkara ini,” katanya.
Abdul Malik berkata, isu itu tidak sepatutnya diperbesarkan kerana syiar Islam harus disebarkan secara berhemah tanpa perlu menjejaskan imej agama suci itu dan Islam mementingkan kesejahteraan hidup individu dan seluruh masyarakat Islam dan bukan Islam, selari dengan nas-nas al-Quran dan al-sunnah.
“Makanya, umat Islam yang ingin melakukan ibadah tidak sewajarnya mengganggu ketenteraman orang lain, khususnya yang berada di luar masjid,” katanya.-Free Malaysia Today
Post a Comment