Menurut laporan The Star, rakyat Malaysia yang direkrut oleh kumpulan militan Islamic State (IS) di Syria sedang mendaki hirarki dalam terorisme.
Mereka dikatakan tidak lagi menjadi tukang cuci dan pengawal dan diangkat menjadi pengebom berani mati dan penembak tepat di Iraq.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman SAC Ayub Khan berkata, kumpulan pengganas tersebut kini menugaskan sesetengah rakyat Malaysia untuk menjalankan misi operasi khas di seluruh Iraq.
“Kehadiran IS di Syria agak kukuh tetapi kumpulan itu kehilangan kawalan ke atas Iraq sebagai wilayah yang telah kembali kepada penguasaan tentera Iraq.
“Risikan kita menunjukkan yang mereka kini lebih bergantung kepada orang Malaysia untuk melaksanakan misi serangan terhadap beberapa struktur utama di Iraq,” katanya seperti dipetik.
Militan dari Malaysia dan Indonesia setakat ini sudah menunjukkan kekejaman mereka di medan tempur, dengan ramai yang menjadi pengebom berani mati. Selain itu ada juga yang termasuk dalam rakaman ketika IS memenggal kelapa tahanan.
Setakat ini, sejumlah 14 warga Malaysia dilaporkan terbunuh di Syria dan Iraq.
Antaranya Zid Saharani Mohamed Esa, Muhamad Syazani Mohd Salim dan Fadzly Ariff Zainal Ariff.
Menurut Ayub lagi, militan warga Malaysia diambil dari unit Khatibah Nusantara di Syria untuk menyertai skuad operasi khas.
“Unit ini dianggotai pejuang IS dari Malaysia dan Indonesia. Mereka diletakkan bersama kerana berkongsi bahasa dan kepentingan yang sama,” katanya lagi.
Sebahagian daripada militan yang terbunuh di sana juga merupakan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Ayub berkata lagi, militan tempatan telah berhenti menyertai kumpulan pengganas lain seperti Jabhat Al-Nusra, yang merupakan ahli gabungan rasmi al-Qaeda di Syria.
“Namun, trend ini sudah berhenti kerana semuanya menyertai IS,” katanya lagi, dan menambah yang jumlah sebenar warga Malaysia di Syria boleh melebihi 100, termasuk kanak-kanak, walaupun angka rasmi hanya 69.
Ini adalah punca kebimbangan yang serius.
Berapa lama sebelum militan “berani mati” ini membawa ekstremisme mereka pulang ke sini, dan mula meletupkan diri sendiri di tengah bandar misalnya, atau mula menembak orang tidak bersalah?
Sejauh mana tahap keselamatan sempadan kita untuk menjamin pengganas ini tidak menjejakkan kaki di sini bersama ideologi ekstrem mereka?
Kita telah melihat polis menangkap bakal pengganas di lapangan terbang, namun banyak juga yang berjaya pergi ke Syria dan Iraq dengan menaiki keretapi ke Bangkok, sebelum terbang ke sana.
Berapa lama sebelum mereka menggunakan cara yang sama untuk pulang ke sini, atau terbang ke Bangkok, dan menggunakan “jalan tikus” yang banyak di sempadan Malaysia-Thailand, dan masuk ke Malaysia tanpa dikesan?
Adakah pihak berkuasa kita bersedia untuk berhadapan dengan perkara itu, atau mereka hanya sibuk memantau lapangan terbang?
Bagaimana pula dengan tindakan ke atas laman web, blog dan juga media sosial, yang telah menjadi medium komunikasi antara militan dan simpatisan mereka.
Bukankah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) patut menutup sahaja laman seumpama itu – dan bukan sekadar membuat pemantauan – agar dapat menghentikan masalah ini sebelum ia menjadi tidak terkawal.-The Ant Daily
Post a Comment