Jangan biar gajet menguasai komunikasi keluarga: Ripin


MIRI: Jangan biarkan gajet menguasai cara berhubung di rumah dan menghakis komunikasi antara anak dan ibu bapa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat berkata, ia merupakan penjajahan tidak jelas oleh teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang harus disedari dan dikawal oleh ibu bapa.

“Sekarang wujud kaedah penjajahan baharu melalui media elektronik, alam maya serta telefon pintar yang telah menghakis komunikasi konvensional dan tradisional ahli keluarga.

“Anak-anak menjadi antisosial kerana sibuk dengan media elektronik,” jelas Ripin.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Graduasi Ke-31 Tadika HIKMAH bahagian Miri semalam.

Jelasnya, walaupun bekerja, ibu bapa harus memastikan komunikasi antara mereka dengan anak terus hidup khasnya ketika berada di rumah.

“Mereka harus kerap mengawasi kegiatan anak agar tidak terjerumus dalam kancah media sosial dan Internet yang berleluasa kini,” katanya.

Jelasnya, pengaruh negatif ICT merupakan cabaran besar ibu bapa sekarang dan ia perlu dibendung dengan mengawal penggunaannya dalam kalangan anak.

“Cabaran ibu bapa sekarang ialah komitmen tugas dan masa bersama keluarga.

Bagaimanapun, ia tidak boleh dijadikan alasan melupakan peranan termasuk memberi pendidikan agama kepada anak-anak,” katanya.

Katanya penubuhan Tadika HIKMAH membantu ibu bapa memberi pendidikan asas agama seperti ilmu membaca al-Quran dan ilmu mengerjakan solat kepada kanak-kanak.

Menurut Ripin, mereka merupakan antara 90 peratus tenaga pengajar anak tempatan yang disasar kerajaan negeri pada akhir 2016 untuk berkhidmat di semua sekolah di negeri ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif HIKMAH Sarawak Alwie Morshidi dan Timbalan Datuk Bandar Mohd Chee Kadir.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget