Adenan kekalkan Snowdan di kerusi DUN Balai Ringin


SIMUNJAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin Snowdan Lawan kekal calon Barisan Nasional (BN) dan bakal mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang juga Pengerusi BN Negeri mengumumkan perkara itu pada majlis perasmian bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Telagus/Jerok di sini, semalam.

Menurut beliau, Snowdan bukan sahaja peka keperluan rakyat di kawasan itu bahkan mengetahui setiap kawasan Balai Ringin.

“Tidak lama lagi kita akan ‘berlumba’, saya melihat Snowdan amat rajin dan mampu membawa kemenangan kepada BN.

“Malah beliau mengetahui semua kawasannya, ertinya beliau prihatin mengenai konstituensi.

“Maka itu tiada alasan kita mengganti wakil rakyat lain. Pada saya setakat ini beliau calon paling sesuai di Balai Ringin, saya kekalkan beliau dan percaya (Tan Sri Datuk Amar) James Masing juga sama,” katanya.

Pada PRN Ke-10, Snowdan bertanding atas tiket BN-PRS (Parti Rakyat Sarawak) berjaya menewas lima calon lain dalam pertandingan enam penjuru dengan majoriti 2,885 apabila berjaya memperolehi undi 4,145.

Snowdan berjaya menewaskan calon Ibi Uding dari PKR dengan undi 1,260, Dan Giang (SNAP-765 undi), Lipeh Mawi (PCM-126), Cobbold Lusoi (Bebas-85 undi) dan Sujal Gansi (Bebas-32 undi).

Menurut Adenan, dengan mencalonkan Snowdan diharap sokongan kepimpinan BN di Balai Ringin dapat diteruskan.

Adenan berharap rakyat di Balai Ringin turut memberi sokongan ke atas kepimpinannya dalam usaha meneruskan agenda pembangunan yang sudah dirancangkan.

“Banyak perkara belum kita capai untuk manfaat rakyat di negeri ini. Saya berharap anda semua beri masa lima tahun lagi untuk saya beri pembangunan.

“Sarawak amat luas dan berselerak, masih memerlukan bekalan elektrik, bekalan air termasuk jalan raya yang tidak mencukupi.

“Kita mahu apa sahaja kemudahan ada di Semenanjung, harus ada di Sarawak,” tegasnya.

Majis perasmian itu semalam dihadiri Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing, Menteri Muda Pertanian juga ADUN Bukit Begunan Datuk Mong Dagang, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Rakayah Madon dan Guru Besar SK Telagus/Jerok Matilip Edeni.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget