Sarawak tolak cubaan sebar ideologi ekstrem gugat keharmonian rakyat


MIRI: Sarawak perlu menolak sebarang cubaan membawa masuk idealogi melampau yang bertujuan menghancurkan perpaduan serta keharmonian rakyat di negeri ini.

Menteri Muda Perhubungan, Datuk Lee Kim Shin berkata Sarawak menikmati keamanan dan perpaduan kaum sejak sekian lama dan sewajarnya keadaan itu perlu dikekalkan.

“Kumpulan pelampau ini Cuma minoriti dan ia perlu dihalang daripada menyebar ideologi yang boleh membawa kehancuran perpaduan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Hari Deepavali di sini semalam.

Beliau berkata kepelbagaian kaum serta kepercayaan agama antara keunikan terdapat di Sarawak menunjukkan negeri ini telah lama mengamal konsep 1Malaysia.

“Kita di Sarawak tidak harus terpengaruh dengan sebarang ideologi ekstrem kerana perbuatan itu akan membawa kesan negatif hingga meruntuhkan tembok perpaduan rakyat,” jelasnya.

Menteri Muda Sukan itu turut memberitahu rakyat di negara ini harus berbangga kerana Malaysia satu-satunya negara yang mempunyai rakyat pelbagai kaum dan agama.

“Sarawak sendiri contohnya telah mengamalkan sikap terbuka terutama aspek kepercayaan dan keagamaan termasuk penganut Kristian boleh menggunakan kalimah Allah,” katanya.

Mengulas mengenai festival berkenaan, ia merupakan peluang terbaik kepada masyarakat tempatan untuk mengenali kebudayaan dan adat resam masyarakat India di Miri.

“Saya yakin aktiviti sebegini akan merapatkan hubungan satu sama lain sekali gus mendorong mereka memahami kebudayaan masyarakat India seperti makanan, tradisi dan sebagainya,” jelasnya.

Hadir sama ialah Datuk Bandar Lawrence Lai, Pengerusi SUPP Piasau, Datuk Sebastian Ting, Pengerusi Persatuan Hindu Miri (PHM), G.Selvaraj, dan Presiden Persatuan India Miri, M. Karambir Singh.

Festival itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi projek pembinaan bangunan kuil pertama PHM yang terletak di Taman Tunku.

Setakat ini, PHM telah mengumpul RM550,000 dan hasil jualan festival itu nanti akan disalurkan untuk dana projek yang jumlah keseluruhan kos pembinaannya RM700,000.

Antara aktiviti ialah persem-bahan tarian tradisional serta klasik, pertunjukan fesyen pakaian India, demonstrasi cara pemakaian sari, jualan pakaian India, makanan dan sebagainya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget