PKR LETAK CALON DI DUN NANGKA


SIBU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan meletak calon bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
Ketua PKR Cabang Sibu Abdul Raafidin Majidi berkata, parti buat masa ini hanya menyasar kerusi DUN Nangka bagi menentang penyandangnya Dr Annuar Rapa’ee daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
“Kerusi-kerusi di bawah Parlimen Sibu seperti DUN Bawang Assan dan DUN Pelawan mungkin kami tidak meletak calon bagi memberi laluan kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP).
“PKR hanya berminat untuk mengintai kerusi DUN Nangka dan hanya memberi fokus kepada kerusi tersebut buat masa ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Rejang Park di sini, petang kelmarin.
Ditanya mengenai calon PKR di kerusi DUN Nangka, Raafidin berkata PKR sudah mempunyai serta mengenal pasti calon berkenaan.
“Calon itu merupakan orang tempatan dan kita tidak boleh umumkannya dulu. Sebab ia adalah hak mutlak daripada Jawatankuasa PRN PKR untuk mengumumnya kelak,” jelasnya lagi.
Katanya kemungkinan calon PKR di kerusi DUN Nangka akan diumumkan pada satu program anjuran Jawatankuasa PRN PKR dan ibu pejabat PKR Sarawak  di Kuching pada 22 Julai ini iaitu pada Rabu depan.
“Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya Mohamed Azmin Ali akan hadir pada program ini dan dijangka akan mengumumkan nama-nama calon yang bertanding pada PRN di negeri ini.
“Serentak dengan itu juga, kedua-dua pemimpin ter-tinggi itu akan melancarkan manifesto PKR bagi menghadapi PRN. Masa itu, kami menjangkakan nama calon bagi kerusi DUN Nangka akan kita ketahui,” jelasnya yang juga ketua PKR DUN Nangka.
Bercakap mengenai persediaan PKR Cabang Sibu menghadapi PRN akan datang, beliau memberitahu bahawa jentera parti sudah bersedia menghadapi PRN yang banyak diperkatakan akan diadakan pada bulan September akan datang.
“Parti sudah menggerak-kan jenteranya dan kami sudah bersedia menghadapi PRN pada bila-bila masa sahaja.
“Calon berkenaan serta jentera parti sudah mula turun padang khususnya bagi kawasan Kampung Hilir dan Kampung Datu dengan membantu kebajikan rakyat khasnya golongan ibu tunggal.
“Walaupun bantuan yang dihulurkan sebelum ini tak seberapa tapi ia menunjukkan kami tidak mengabaikan kebajikan rakyat yang memerlukan.
“Apa yang penting kami buat kerja dahulu. Yang pasti PKR akan meletakkan calonnya di kerusi DUN Nangka,” tegasnya.
Mengenai hubungan dengan DAP, Raafidin berkata PKR Cabang Sibu tidak menghadapi masalah dengan ahli atau wakil rakyat DAP di Sibu meskipun mereka sudah tidak lagi berada dalam Pakatan Rakyat.
“Masalah ini hanya melibatkan pihak atasan parti sahaja (DAP dan PKR) dan tidak melibatkan kami di peringkat cabang atau cawa-ngan. Hubungan masih baik tetapi renggang ketika ini disebabkan mainan politik sebegitu.
“Namun di Sibu, kami masih saling hormat-menghormati dan sebab itu PKR Cabang Sibu tidak meletakkan calon-calon di kerusi lain di sini selain daripada DUN Nangka,” tambahnya.
Sementara itu, Raafidin turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pengundi di DUN Nangka dan berharap tahun ini akan membawa rahmat dan berkat kepada semua.
Pada majlis rumah terbuka-nya itu, pelbagai golongan peringkat umur telah hadir ke kediamannya khususnya daripada penyokong kuat PKR di sini selain daripada sanak-saudara terdekatnya. -Borneo Post.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget