KUCHING: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Chong Chieng Jen berkata parti itu melebarkan sayapnya ke luar bandar khususnya kawasan yang gagal dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 lalu.
Beliau berkata itulah yang dimaksudkan logik mudah, iaitu di kawasan-kawasan PKR tewas pada PRU13 dan tidak banyak usaha dilakukan di peringkat akar umbi selepas itu, maka DAP perlu memainkan peranan.
“Bagaimana mungkin (PKR) boleh menjangkakan ada perubahan positif berlaku atau keputusan lebih baik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Memandangkan PKR tidak banyak turun padang dan melaksanakan tugas mereka di kawasan luar bandar, rata-rata calonnya pada PRU13 atau tidak berkhidmat di konstituensi tempat mereka bertanding, jadi kami DAP perlu turun padang di kawasan tersebut,” ujarnya.
Beliau menambah ia bertujuan menyekat kemaraan atau memberi lebih peluang kepada Barisan Nasional (BN) terus menguasai kawasan terbabit pada PRN akan datang.
Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa berkata untuk memenangi pilihan raya, ia menuntut persiapan dan kerja keras awal sebelum hari mengundi.
Oleh itu, katanya DAP melancarkan projek dikenali ‘Impian Sarawak’ pada awal September 2013 sejurus selepas PRU13 ketika ramai masih berasa kecewa.
“Apabila DAP tidak bertanding di kerusi di luar bandar PKR menuduh kami membiarkan mereka sendiri mengendalikan kerusi-kerusi sukar untuk dikuasai.
“Namun apabila DAP mula bekerja di kerusi-kerusi luar bandar, bersiap sedia menghadapi pilihan raya, PKR menuduh DAP mahu merampas kerusi-kerusi daripada mereka,” kata Chong.
Hakikatnya, ujar beliau semua pihak terutama pembangkang tidak boleh hanya duduk diam dan menunggu keajaiban berlaku semasa pilihan raya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan PKR Sarawak dalam laman sosial Facebook parti itu semalam, yang antara lain mendakwa projek Impian Sarawak diperkenalkan DAP bertujuan merampas kerusi PKR Sarawak di pedalaman.
“Dahulu DAP tidak mahu berkongsi beban dengan PKR untuk bertanding di kerusi pedalaman, maka PKR terpaksa berkorban memikul tanggungjawab itu.
“Apabila PKR bertanding di 49 kerusi maka DAP kata PKR Sarawak tamak… itu tuduhan tidak berasas.
“Kini DAP menggunakan Impian Sarawak untuk bergerak ke pedalaman.
“Ingatkan Impian Sarawak ini adalah untuk membantu PKR di pedalaman, rupa-rupanya tidak.
“Niat DAP rupa-rupanya untuk merampas kerusi PKR Sarawak di pedalaman,” kata kenyataan PKR Sarawak itu.
Tambah kenyataaan itu lagi, kerusi yang mahu DAP bertanding pada PRN akan datang merupakan kawasan yang PKR boleh menang seperti DUN Layar, Betong yang kini disandang Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.
PKR turut mempersoalkan kenapa DAP tidak mahu bermula di kawasan DUN Balingian dan lain-lain yang sukar dikuasai.
Justeru PKR Sarawak menggesa rakyat pedalaman khususnya komuniti Dayak agar tidak mudah terkeliru dengan projek kecil yang dibawa DAP dengan perjuangan PKR Sarawak iaitu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), perkara paling penting diperjuangkan.
Katanya penyelesaian terbaik untuk kemelut antara PKR dan DAP ialah menentukan satu hala iaitu mengalahkan BN dengan mengelak pertembungan antara satu sama lain (PKR menentang DAP) pada PRN akan datang.
“Biarlah DAP menumpu di kerusi yang mereka bertanding dahulu. PKR Sarawak pula bertanding di 49 kerusi yang pernah ditandingi dahulu… kekalkan status quo.
“Kecualilah PKR Sarawak sanggup menyerahkan beberapa kerusinya di pedalaman kepada DAP… bukannya main sergah rumah dan mendakwa (claim) rumah itu milik sendiri,” kata kenyataan itu.-Utusan Borneo
Post a Comment