Transformasi parlimen dijangka dilaksanakan sebaik diluluskan


Parlimen dijangka akan memperkenalkan ‘Minister Time’ pada sesi sidang parlimen akan datang bagi memberi peluang kepada ahli parlimen bertanya sebarang persoalan kepada menteri secara khusus termasuk kepada perdana menteri.

Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, perkara itu adalah antara pembaharuan memperkasa Parlimen Malaysia di mana sesi berkenaan akan berlangsung untuk tempoh 30 minit bagi setiap pagi Selasa dan Khamis.

“Akan ada lebih kurang enam kementerian perlu ada untuk menjawab soalan mutahir atau isu semasa yang perlu melalui notis dalam tempoh 24 jam. Jika jawapan berkenaan tidak menepati jawapan sebenar, jawapan terperinci perlu diberi dalam 24 jam notis berikutnya.

“Peluang ini adalah untuk mengelak ahli parlimen tidak diberi peluang untuk bertanya berhubung isu semasa seperti bencana alam, soal kesihatan dan sebagainya,” kata Pandikar Amin dalam sidang media di Parlimen pada Rabu.

Menurut Pandikar Amin, sesi selama 30 minit itu akan menjadikan masa bertanya dan menjawab lebih pendek.

“Yang menjadi persoalan adakah yang bertanya soalan akan ambil masa tidak lebih daripada seminit? Untuk menjawab pula mesti jawab dalam masa dua minit paling lama tiga minit,” katanya.

Dalam pada itu, tempoh masa lebih pendek daripada 14 hari bekerja kepada 10 hari akan diperkenalkan untuk ahli parlimen mengemukakan soalan bagi sesi jawab lisan.

Parlimen juga katanya, akan memperkenalkan kamar khas di bawah peraturan mesyuarat 18-1

“Selalu usul yang ditolak adalah tidak menepati peraturan mesyuarat. Bila saya tolak usul di bawah 18-1 menjadi budaya ahli parlimen secara tergesa keluar dan buat sidang media dan selalunya hentam Speaker tuduh kita tidak adil.

“Walaupun ahli parlimen berkenaan terpelajar dan tahu maksud peraturan tetapi mereka tetap jadikan isu. Untuk bawa akta persendirian prosedurnya mesti melalui peraturan 27 iaitu beri notis kepada Setiausaha Dewan Rakyat beserta notis itu dan perlu ada draf kepada pindaan,” katanya.

Perkara itu tambahnya, adalah bagi mengelak tuduhan terhadap speaker tidak berlaku adil dan mengelak persepsi masyarakat umum berfikiran bahawa tuduhan itu adalah betul.

Kabinet sebelum ini bersetuju dengan tiga daripada empat teras cadangan pindaan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bagi pelaksanaan transformasi Parlimen, bagaimanapun bercadang menangguhkan sementara cadangan teras pindaan ke empat iaitu mewujudkan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan yang baru.

Pembaharuan Parlimen adalah dikongsi bersama sebagai tindak balas kepada dakwaan bahawa badan perundangan telah bertukar kepada suatu cap getah untuk eksekutif.

Pandikar Amin pada tahun lalu memaklumkan bahawa beliau sudah membincangkan reformasi itu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Usul reformasi parlimen itu akan dibawa ke Dewan Rakyat sesi ini dan jika lulus akan dilaksanakan secepat mungkin.

-BNBBC

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget