KUALA LUMPUR, 11 MAC: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menegaskan bahawa parti itu bukanlah hanya untuk orang Islam sahaja, terutama menjelang pilihanraya Negeri Sarawak ke 11 yang akan datang.
YB Dato' Iskandar Abdul Samad menyatakan bahawa PAS terbukti telah berperanan dengan jayanya di dalam masyarakat bukan Islam di Selangor sejak tahun 2008.
"Pada pilihanraya Negeri Sarawak ini, PAS akan memperjuangkan nasib dan masa depan orang bukan Islam sama seperti peranan kami sebelum ini terhadap orang Islam", tegas naib Presiden PAS itu.
Tambahnya lagi, peranan PAS ini adalah selari dengan konsep rahmat untuk semua yang dibawa oleh Islam sejak 1,400 tahun dahulu.
"Adalah tidak benar jika ada yang berpendapat bahawa PAS hanya boleh bertanding di kawasan majoriti 80% Islam", ujar beliau.
"PRN Sarawak akan diadakan pada bila-bila masa dan PAS juga akan bertanding di kerusi-kerusi di mana orang Islam bukan majoriti", tegas beliau dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Setakat hari ini, PAS Sarawak telah mengumumkan untuk bertanding di 11 kerusi pada PRN Sarawak ke 11 yang dijangka akan diadakan pada penghujung April 2016.-SarawakLive
Post a Comment