Malaysia Nikmati Kelebihan Jika Sertai TPPA Lebih Awal


BANGI - Malaysia berkemungkinan tidak dapat menikmati kelebihan sebagai negara penggerak pertama jika mengamalkan sikap tunggu dan lihat dan menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) pada masa lebih lewat.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, mengulangi Malaysia juga antara lainnya dapat melindungi perkara seperti hak bumiputera, perniagaan kecil serta industri halal dalam rundingan perjanjian perdagangan itu.

"Jika Malaysia terus bersikap tunggu dan lihat, ia akan kehilangan kesemua kelebihan yang dibincang (pada peringkat awal) andai memutuskan untuk menyertai TPPA lebih lewat.

"Kita perlu merundingkan semula (perjanjian) jika mahu menyertainya kemudian dan mungkin tidak dapat memperolehi semua perkara berkenaan," katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai TPPA di Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini, hari ini.

Pada majlis yang dihadiri lebih 500 orang, termasuk pakar akademik dan penuntut, beliau memberi penjelasan mengenai TPPA dan menyangkal dakwaan bahawa kementerian 'berahsia' mengenai perjanjian itu.

Mengulas isu dibangkitkan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen bahawa analisis PricewaterhouseCoopers (PWC) menunjukkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan eksport negara hanya boleh berkembang sebanyak 0.22 peratus di bawah TPPA serta risiko penyusutan imbangan dagangan sebanyak 30 peratus, Mustapa berkata perdagangan Malaysia mengalami lebihan.

"Laporan PWC menunjukkan ada kelebihan dan cabarannya, namun secara keseluruhan, perjanjian itu lebih banyak memberikan manfaat berbanding cabaran.

"Kerajaan juga menyedari yang kita perlu meningkatkan eksport negara dan atas dasar itu, kita memperkenalkan inisiatif seperti penubuhan Majlis Eksport Negara serta beberapa langkah agar lebih agresif serta meneroka pasaran baharu.

"TPP sendiri adalah satu mekanisme yang dapat mempelbagaikan dagangan negara supaya tidak terlalu bergantung kepada Asia Timur seperti China," katanya.

Mengenai Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) -- satu lagi cadangan perjanjian perdagangan bebas ASEAN dengan enam negara (Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand) yang turut menandatangani perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan blok itu, Mustapa berkata, kerajaan sememangnya komited untuk melihat ia dapat dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.

"TPPA akan menggalakkan lagi supaya RCEP ini dapat dimuktamadkan. Mesyuarat seterusnya akan diadakan pada Februari dan (jika perlu) kita akan membawa ke peringkat menteri jika tidak banyak perkembangan dicapai," katanya.

Rundingan TPPA melibatkan 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam, yang ketika ini menyumbang hampir 40 peratus kepada KDNK dunia dan satu pertiga daripada perdagangan global.

Keputusan mengenai penyertaan Malaysia dalam TPPA akan ditentukan menerusi persidangan Parlimen, iaitu di Dewan Rakyat pada 26 dan 27 Januari ini dan keesokannya di Dewan Negara.

- BERNAMA

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget