Logo Parti Kekuatan BN


BETONG: Kekuatan Barisan Nasional (BN) dilihat menerusi logo parti yang dipercayai rakyat membawa banyak pembangunan dan perubahan serta dasar di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang menyifatkan sokongan rakyat dalam kemenangan BN cukup sinonim dan dikenali dengan lambang yang memberi kekuatan dan sokongan padu rakyat.

“Kemenangan majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu membuktikan bahawa BN masih relevan dan menunjukkan rakyat masih memerlukan BN untuk memerintah.

“Selain lambang kukuh, saya yakin kepimpinan diterajui Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang mementingkan pembangunan menyeluruh terutama di luar bandar akan menambahkan lagi kelebihan BN,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Taklimat Projek Pembangunan 2016 Peringkat DUN Saribas, Layar dan Bukit Saban di sini, kelmarin.

Jabu yang juga ADUN Layar mengharapkan sokongan lebih kuat dan yakin kemenangan lebih besar akan diperolehi pada PRN akan datang.

“Saya yakin rakyat sebagai pemilih tidak keliru dan mudah terpedaya dengan dakyah pembangkang yang sengaja memancing undi.

“Kita perlu sokongan padu rakyat demi menjamin keharmonian dan perpaduan terus menjadi amalan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata Sarawak bakal menghadapi PRN ke-11 dan perlu bergerak seiring dan bersatu padu memastikan kemenangan besar dan memberi mandat lima tahun lagi kepada kepimpinan Adenan.

Sementara itu, ketua-ketua jabatan membentangkan perancangan projek pembangunan 2016 bagi kawasan Parlimen Betong merangkumi DUN Saribas, Layar dan Bukit Saban.

Turut hadir Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Perlimen Betong Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) dan Menteri Muda Pembangunan Belia (Luar Bandar) merangkap Setiausaha Agung PBB Datuk Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Muda Kebajikan merangkap ADUN Bukit Saban Robert Lawson Chuat dan ADUN Saribas Mohamad Razi Sitam.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget