Kerajaan Tidak Bercadang Naikkan GST


PUTRAJAYA - Kerajaan tidak pernah ber­cadang untuk menaikkan ka­dar cukai barang dan perkhid­matan (GST), malah perkara ter­­sebut juga tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

Menteri Perdagangan Dalam Ne­geri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah menyatakan bahawa kenaikan kadar GST tidak akan berlaku.

“Saya sendiri merupakan anggota Kabinet, kenaikan kadar GST sama sekali tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet dan kami semua tidak terfikir untuk melaksanakan perkara tersebut.

“Perkara itu sama sekali tidak akan berlaku dan kita kekal dengan kadar yang telah ditetapkan iaitu sebanyak enam peratus,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementerian itu di si­ni hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dalam status Facebook miliknya sama ada kadar GST akan dinaikkan selepas kejatuhan harga minyak.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Hamzah berkata, kerajaan akan membuat keputusan sama ada penggunaan rokok elektronik atau vape akan diharamkan atau sebaliknya pada hujung bulan ini.

Katanya, kajian mengenai vape telah dilakukan sejak Oktober tahun lalu dan mengikut jadual, ke­putusan kajian tersebut akan siap untuk diserahkan kepada Kabinet pada hujung bulan ini.

Mengulas mengenai kekurangan bekalan dan kenaikan harga ikan di pasaran ekoran fenomena El Nino yang melanda negara, Hamzah ber­kata, kementeriannya tidak mem­punyai kuasa untuk mena­ngani ma­salah tersebut.

Katanya, semua kuasa berhu­bung perkara tersebut terletak di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan strategi kementerian hanyalah mencari jalan penyelesaian untuk membantu se­tiap masalah yang timbul membabitkan pengguna.

“Ketika ini jika ada sesuatu isu membabitkan harga, orang ramai akan serang kementerian saya, wal­hal kami tidak terlibat langsung con­tohnya mengenai harga ikan dan juga isu tambah nilai prabayar. Dalam hal ini apa yang saya boleh buat kerana saya langsung tiada ke­na mengena.

“Saya ingin maklumkan baha­wa kementerian ini hanya jaga gu­la dan tepung sahaja, pihak media kena faham dan jangan serang macam kementerian saya langsung tidak buat kerja, jadi saya berharap semua pihak dapat membantu kami dalam hal ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kementerian ketika ini berdepan de­ngan masalah kekurangan anggota penguat kuasa untuk menjalankan tugas kerana pihaknya hanya mempunyai 2,000 anggota penguat kuasa di seluruh negara.

“Ada yang persoalkan kenapa kita tidak membuat pemeriksaan dan serbuan bersama anggota Ja­batan Sukarelawan Malaysia (Rela), sebenarnya kita tidak boleh turunkan kuasa yang ada kerana mereka bukan penjawat awam, malah khid­mat mereka juga berbayar,” kata­nya.

- Utusan Online
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget