Kemungkinan ada pertukaran kerusi komponen BN


KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem tidak menolak kemungkinan berlaku pertukaran kerusi membabitkan parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Adenan yang juga Pengerusi BN Sarawak bagaimanapun berkata, perkara itu belum dimuktamadkan tambahan isu pembahagian kerusi baharu antara komponen BN negeri masih belum selesai.

“Kemungkinan ya, (berlaku pertukaran kerusi antara parti komponen BN pada PRN nanti),” ujarnya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pelancaran rasmi buku autobiografi ‘Anak Kampong’ oleh Datuk Lily Yoong Lee Lee di sini, semalam.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Adenan berkata isu pembahagian kerusi baharu membabitkan komponen BN harus diselesaikan sebelum hari penamaan calon.

Beliau turut mengakui berdepan kesukaran untuk membahagikan kerusi antara Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) serta Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

“Saya tidak berdepan masalah (membahagikan kerusi) dengan PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) dan PRS (Parti Rakyat Sarawak).

“Saya menghadapi masalah dengan SUPP dan UPP serta SPDP dan TERAS,” ujarnya sambil menambah beliau akan membuat keputusan apabila tiba masanya selepas keempat-empat parti itu gagal mencapai penyelesaian dalam tempoh yang telah ditetapkannya.

Beliau yang juga Presiden PBB berkata pada PRN akan datang, dijadual selewat-lewatnya 20 Jun ini, BN akan memperkenalkan beberapa muka baharu.

“BN akan memperkenalkan beberapa muka baharu, sebagai contoh 40 kerusi yang akan dipertandingkan PBB, lima muka baharu akan bertanding di lima kerusi baharu dan beberapa penyandang menyatakan hasrat untuk bersara, tetapi buat masa ini jumlah mereka masih sulit,” jelasnya.

Ditanya mengenai spekulasi mengatakan Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu tidak akan mempertahankan kerusi DUN Layar pada PRN nanti, Adenan berkata beliau tidak mahu mengulas dengan alasan beliau tidak tahu mengenai perkara tersebut.

Sementara itu, dalam ucapannya perasmiannya, Adenan berkata buku autobiografi ‘Anak Kampong’ menggambarkan rakyat Sarawak sentiasa mempunyai hubungan baik antara satu sama lain meskipun berbeza latar belakang kaum dan agama.

Beliau berkata, rakyat Sarawak berbangga dengan perpaduan yang dipupuk bersama menjadikan negeri ini contoh terbaik serta sebenar perpaduan dalam kepelbagaian.

“Adalah menjadi harapan saya untuk melihat keharmonian kaum serta agama, seperti yang digambarkan Datuk Lily Yong di dalam bukunya, akan terus kekal.

“Saya amat gembira kerana Datuk Lily Yong dapat mendokumenkan dan berkongsi pengalamannya dengan kita menerusi buku ini.

“Pengalaman beliau semasa muda, membesar dalam kampung atau kawasan kejiranan Melayu, Kampung Bintangor,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap penerbitan buku ‘Anak Kampong’ akan memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Sarawak berkongsi pengalaman mereka dengan masyarakat umum dan luar menerusi penulisan buku.

Lily merupakan bekas ADUN Padungan dan aktif melakukan kerja-kerja sosial serta kebajikan menerusi penyertaan beliau dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Hadir sama pada majlis itu Menteri Muda Kemudahan Awam Datuk Dr Stephen Rundi Utom, ADUN Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi dan bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Datuk Seri Mohd Jamil Johari.-Borneo Post

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget