'Ego berleluasa selepas Nik Aziz meninggal, Anwar di penjara'


Pembentukan pakatan pembangkang baru tanpa penyertaan PAS menyebabkan pemerhati politik tertanya-tanya sama ada Pakatan Harapan mampu mengharungi cabaran ataupun bakal terkubur seperti pakatan sebelumnya.

Bagaimanapun bagi seorang pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH), jika semua pihak matang dan berlapang serta masing-masing ikhlas berjuang untuk keadilan dan keredhaan Allah, Pakatan harapan mampu menggugat Umno dan BN.

Bagaimanapun, pengarah komunikasi dan media, parti sepihan PAS itu, Mohd Sofi Abdul Wahab memberi amaran bahawa kesilapan lama tidak perlu diulangi.

Dalam ‘bedah-siasatnya’ berhubung kematian Pakatan Rakyat, beliau berkata bagaimana ego berleluasa dengan ketiadaan bekas Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Lebih-lebih selepas Tuan Guru Nik Abdul Aziz meninggal dunia dan Anwar Ibrahim di penjara maka tiadalah pimpinan yang dihormati dan disegani.

“Masing-masing menunjukkan ego masing-masing. Perangai ini mesti dibuang jauh-jauh oleh pimpinan Pakatan Harapan yang ada sekarang. Jangan ulangi kesilapan lama,” katanya dalam satu kenyataan.

Nyawa-nyawa ikan

Sofi mengimbau kembali apabila gabungan itu dalam keadaan nyawa-nyawa ikan pimpinannya sudah tidak boleh duduk semeja lagi.

Katanya, masing-masing menggunakan media untuk berkomunikasi dan berbalas-balas 'tembakan' serta tidak mahu bertemu dan bermesyuarat untuk merungkaikan masalah.

“Saya yakin jika semua pihak matang dan berlapang serta masing-masing ikhlas berjuang untuk keadilan dan keredaan Allah, Pakatan harapan mampu menggugat Umno/BN dan rakyat akan tetap memberikan sokongan padu kepada mereka,” katanya.

Dalam rujukan jelas ke atas PAS dan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Sofi berkata satu lagi sebab yang menyumbang kepada keruntuhan Pakatan Rakyat adalah bahawa parti-parti komponen tertentu enggan mematuhi keputusan majlis kepimpinan atau menghadiri mesyuarat.

Pemimpin AMANAH itu juga berkata bagaimana bekas parti komponen Pakatan Rakyat itu yang termakan gula-gula Umno/BN.

“Kita melihat pemimpin Pakatan harapan uga sudah matang dan berpengalaman untuk mendepani sepak terajah musuh politik mereka yang siang malam mencari jalan untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat dahulu.

“Mereka memainkan isu agama dan perkauman sehingga ada bekas parti komponen Pakatan Rakyat yang termakan gula-gula Umno/BN ini.

“Saya yakin semua serangan dan fitnah mampu ditangani oleh pimpinan yang berpengalaman ini. ini,” katanya.

Pemimpin AMANAH itu juga menolak dakwaan bahawa gabungan baru itu seperti Pakatan Rakyat tidak akan kekal lama kerana setiap parti mempunyai agenda sendiri dan tidak mungkin dapat bertolak ansur antara satu sama lain.

Sambil tidak menafikannya, beliau berkata gabungan baru ini sendiri wujud kerana sememangnya parti-parti ini berbeza dalam beberapa perkara.

“Sebab itu perlu kepada gabungan dan pakatan, jika mereka semuanya sama tidak perlulah wujudkan pakatan.

Kegagalan PR mengekalkan gabungan tersebut adalah disebabkan kegagalan parti-parti terbabit berpegang kepada janji dan keputusan mesyuarat. Antara penyebabnya ialah ada komponen parti yang tidak mahu akur kepada keputusan mesyuarat dan juga tidak mahu menghadiri mesyuarat.-Malaysiakini

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget