Chong Mahu SUPP Bekerjasama Dengan DAP


Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dicabar menggunakan kutipan cukai taksiran daripada rakyat di Skim Penempatan Semula Stampin untuk menyediakan infrastruktur di kawasan berkenaan sementara Parti Tindakan Demokratik (DAP) melaksanakan perancangannya.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata, DAP bersedia untuk berhubung dengan konsultan atau kontraktor bagi tujuan berkenaan dengan bayaran melalui kutipan cukai serta taksiran berkenaan.

“Saya mencabar SUPP dan kerajaan negeri bagi kawasan Skim Penempatan Semula Stampin ini, kira jumlah kutipan daripada rakyat melalui cukai dan taksiran sejak 30 tahun lepas, keluarkan dan buat akaun berasingan untuk pembangunan.

“Kami, DAP melaksanakan pembangunan dan perancangan iaitu berhubung dengan konsultan atau kontraktor untuk melaksanakannya dengan bayaran harus daripada akaun terbabit,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP Sarawak di sini, semalam.

Chong memberi jaminan dengan berbuat demikian beliau yakin dalam tempoh lima tahun penempatan semula Stampin akan mengalami perubahan dari segi infrastruktur.

Beliau berkata sudah menjadi tanggungjawab SUPP sebagai parti kerajaan menyediakan infrastruktur di kawasan itu dan bukan menyalahkan beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu.

Menurut ADUN Kota Sentosa itu, jika diteliti bayaran cukai daripada pembayar kepada kerajaan jampir 30 tahun diwujudkan penempatan semula itu boleh digunakan untuk membangunkan kawasan berkenaan.

“Kawasan berkenaan adalah di bawah SUPP sehingga 2013 namun apa yang telah dilaksanakan di sana sejak itu, kini mereka menyalahkan saya dan DAP.

“SUPP harus sedar bahawa daripada semua pusat mengundi di bawah Parlimen Stampin, kawasan penempatan semula Stampin menunjukkan SUPP atau Barisan Nasional berjaya mencapai 55 peratus majoriti pengundi menyokong mereka.

“Ini menunjukkan ia kawasan kuat bagi mereka namun apakah balasan atau pembangunan yang diberikan mereka kepada penyokong di sana dan SUPP mengambil mudah tentang sokongan itu,” tegasnya.

Menurut Chong secara amnya DAP berjaya meraih 75 peratus pengundi menyokong DAP di kebanyakan pusat mengundi namun di penempatan semula itu menunjukkan pengundi lebih menyokong BN.

Beliau mendakwa kebanyakan kawasan yang majoriti pengundinya adalah menyokong DAP, sudah ada infrastruktur dilaksanakan termasuk jalan dan sebagainya kecuali penempatan semula Stampin.

Baru-baru ini Presiden SUPP Senator Datuk Dr Sim Kui Hian menjelaskan bahawa sejak penempatan semula Stampin di bawah DAP sejak 10 tahun lalu, tidak ada sebarang pembangunan nyata direalisasikan di sana.

Maka itu kata Dr Sim, pengundi harus memikirkan semula untuk memilih dan menyokong SUPP, juga BN semasa Pilihan Raya Negeri akan datang kerana kerajaan sahaja yang mampu menunaikan janji pembangunan di kawasan itu. - Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget