PBB mahukan semula kerusi DUN Bekenu

BEKENU: Kaunselor antara calon yang akan diketengah bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu jika kerusi itu dikembalikan kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Pada mesyuarat Jentera Pilihan Raya PBB Ranting Bekenu semalam, rata-rata ketua ranting PBB Bekenu telah sebulat suara dan bersetuju agar kerusi DUN Bekenu diserah kepada PBB.

Ketua Pemuda PBB Ranting Bekenu Ali Sheikh Kassim berkata kemahuan untuk meletak calon baharu di kerusi terbabit turut dipersetujui oleh ahli PBB di peringkat akar umbi.

“Kami mahu calon atau muka baharu diletak di DUN Bekenu dan calon terbabit harus daripada PBB sendiri. Dan kami menolak calon parti lain yang bukan komponen Barisan Nasional (BN),” katanya di sini, semalam.

Ali berkata pihaknya menyenarai pendek tiga calon yang banyak menyumbang dan berjasa kepada PBB.

“Kami telah menghantar nama beberapa calon, antaranya terdiri daripada kaunselor namun keputusan muktamad terletak kepada Pengerusi BN Negeri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem,” jelasnya.

Ali berkata Bekenu kubu paling kuat BN dan rata-rata penduduknya merupakan ahli PBB dan penyokong kerajaan BN.

“Kami berharap calon baharu ini dapat menjalankan tugas dengan lebih baik dan tidak mewujudkan sentimen berpuak-puak yang boleh menjejaskan kekuatan PBB,” jelasnya.

Perkara itu turut dipersetujui Timbalan Ketua Pemuda PBB Bekenu Babu Lasan yang pada dasarnya mahu PBB memiliki semula kerusi itu.

“Kami di kampung dan rumah panjang juga penyokong kuat BN. “Ada kalangan kami ahli PBB bertegas agar kerusi DUN Bekenu diserah kepada PBB secara kekal,” jelasnya.

Timbalan Ketua Wanita PBB Cawangan Bekenu Magdline Semunjan Sirit yang mewakili ahli wanita PBB Bekenu mahu suara mereka yang mahu calon baharu di DUN Bekenu didengari.

“Kami sentiasa memberi sokongan padu bagi membolehkan calon daripada BN menang pilihan raya. Kali ini biarlah calon daripada PBB sendiri yang bertanding di kubu kuat PBB di sini,” jelasnya.

Cadangan itu katanya adalah langkah baik untuk memastikan kestabilan politik di DUN Bekenu sekali gus merancakkan lagi pembangunan di kawasan luar bandar.

Untuk rekod, kini berlaku perebutan kerusi antara Parti Demokratik Progresif (SPDP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) tetapi ahli PBB Bekenu mahu kerusi DUN terbabit diserahkan kepada parti asalnya, PBB.

Sehubungan itu, keputusan bagi status sebenar kerusi DUN Bekenu hanya terletak di tangan Adenan yang juga presiden PBB.- Utusan Borneo
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget