Bukan kerana calon, tapi kecewa usaha keras tidak dihargai: Bayoi


KUCHING: Datuk Frederick Bayoi Manggie semalam menafikan bahawa beliau meletak jawatan dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kerana namanya terkeluar daripada senarai calon berpotensi bagi kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Semuja.

Sebaliknya, kata Bayoi, tindakan itu kerana beliau berasa tiada tempat lagi dalam parti meskipun berusaha keras bersama PBB termasuk selepas berhenti berkhidmat sebagai ADUN Kedup pada 2011.

“Saya berasa sakit hati kerana ada orang tertentu tidak berpuas hati dengan apa yang saya lakukan di Bukit Semuja.

“Ini membuatkan saya berasa seperti saya tidak mempunyai apa-apa tempat dalam PBB, yang membawa kepada keputusan saya untuk meninggalkan parti,” katanya dalam temu bual di sini semalam.

Bekas ADUN selama lima penggal itu telah berkhidmat dengan PBB selama 33 tahun, meletak jawatan Khamis lalu, sekaligus menimbulkan spekulasi bahawa beliau kecewa berikutan namanya digugurkan daripada senarai calon.

Bayoi bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya mengenai perancangan seterusnya sama ada akan berdiri sebagai calon bebas.

“Saya akan memberitahu anda apabila tiba masanya,” katanya, sambil menambah bahawa beliau kini bebas mana-mana parti politik dan mempunyai kebebasan melakukan apa sahaja.

Bayoi mengesahkan telah bertemu dengan Ketua Menteri dan Presiden PBB Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada 5 Januari lalu, beberapa hari selepas penyiaran laporan berita perhimpunan penyokong agar Bayoi dinamakan sebagai calon Barisan Nasional di Bukit Semuja.

Menjangka menerima kata-kata semangat daripada presiden parti itu, namun sebaliknya Adenan mengarah beliau menghenti usaha melobi diri sebagai calon.

“Saya tidak pernah menyerahkan nama saya untuk dimasuk dalam senarai calon Bukit Semuja, malah tidak pernah mengarah sesiapa pun untuk melakukan bagi pihak saya.

“Oleh itu, saya tidak tahu bahawa nama saya ada dalam senarai,” kata beliau sambil menambah beliau terkejut dengan sikap acuh tak acuh Adenan terhadapnya walaupun sudah berkawan lama.

Beliau berkata PBB Triboh (PBB Bukit Semuja), yang ditubuhkan selepas Triboh yang kemudian dinamakan Bukit Semuja diumumkan sebagai salah satu dari 11 kerusi DUN baru pada awal tahun lalu.

Bayoi mendakwa Projek Triboh PBB telah ditubuhkan untuk mendapatkan sokongan calon PBB yang dipilih oleh kepimpinan tertinggi BN supaya kemenangan dengan majoriti besar boleh dicapai yang dianggap sebagai hadiah kepada Ketua Menteri yang mencari mandat lebih besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang .

“Objektif utama Projek Triboh PBB adalah untuk menuntut kerusi itu bagi PBB dan bukan untuk memperkenalkan Datuk Frederick Bayoi,” katanya.

Hakikatnya, beliau kesal bahawa orang lain diminta untuk menjaga Buktit Semuja yang tidak tahu tentang isu di kawasan berkenaan.

Bayoi berkhidmat sebagai ADUN Kedup selama tiga penggal atau 15 tahun mulai 1996 hingga 2011, selepas dua penggal sebagai ADUN Tarat.

Kerusi majoriti Bidayuh dengan sejumlah besar pengundi Cina terdiri daerah mengundi Triboh, Selabi, Serian Bazaar, Kakai, Serian Hulu dan Sedihan, dengan jumlah pengundi 13,103 pada Mac 2015.

Kini terdapat desas-desus bahawa Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) juga berminat mendapatkan kerusi itu malah pemerhati politik menunjukkan fakta bahawa kawasan Parlimen Serian diwakili oleh Timbalan Presiden SUPP Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Sementara itu, bendahari PBB Tebedu, Gabriel Kajeh Menggu dikatakan menjadi calon utama untuk pencalonan, manakala Naib Ketua Pemuda PBB, Stanley Sila juga telah menyatakan minat beliau dan ahli-ahli PBB yang lain termasuk Timbalan Pengerusi PBB Kedup Alexander Gayang juga dinamakan sebagai antara calon-calon yang berpotensi.

Difahamkan sebuah jawatankuasa interim BN telah dibentuk dan ditugaskan untuk menilai kawasan Bukit Semuja bagi mencari calon yang paling sesuai sekali gus boleh memberi kemenangan.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget