K’jaan negeri sedia salur peruntukan bagi 1AZAM

Program penting untuk meningkatkan taraf ekonomi isi rumah berpendapatan rendah, kata Adenan
KUCHING: Kerajaan negeri bersedia untuk menyalurkan sejumlah peruntukan bagi meneruskan Program 1AZAM di kalangan isi rumah berpendapatan rendah di negeri ini.

Komitmen ini dinyatakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem ketika berucap merasmikan Karnival 1AZAM dan Pelancaran Buku Info Bantuan di Kubah Ria semalam.

“Saya akan bertanya kepada Kerajaan Pusat dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Karim mengapa peruntukan tidak lagi diberikan bagi program ini tahun ini.

“Dan saya akan meminta kerajaan pusat untuk mengembalikan semula peruntukan bagi program ini terutama di Sarawak bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi masyarakat kita.

“Tetapi, jika kita tidak berjaya mendapatkan peruntukan ini maka kerajaan negeri akan membantu dalam soal ini,” katanya.

Terdahulu Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata tiada lagi peruntukan akan diberikan bagi Program 1AZAM atau Akhiri Zaman Miskin tahun ini.

Perkara ini telah menimbulkan kebimbangan kepada pihaknya lebih-lebih lagi dalam usaha untuk meningkatkan taraf ekonomi isi rumah berpendapatan rendah.

Mengikut statitik e-Kasih setakat 5 Januari 2016, seramai 39,319 ketua isi rumah (KIR) telah diberi bantuan di bawah Program 1AZAM sejak tahun 2011.

Daripada jumlah itu, seramai 8,319 KIR telah berjaya terkeluar dari status Miskin atau Miskin Tegar.

Tambah Adenan, kerajaan akan meneruskan usaha untuk merapatkan jurang antara golongan miskin dan kaya di negeri terutama di luar bandar.

Bagi tujuan itu beliau mencadangkan supaya golongan kaya mengangkat keluarga miskin bagi membantu mereka terkeluar dari kepompong kemiskinan.

“Saya tidak suka perkataan miskin kerana ia menggambarkan rakyat kita tidak cukup makan, pakaian dan sebagainya.

“Sebab itu dasar kerajaan saya menekankan pembangunan di luar bandar dan saya menyeru kepada golongan kaya supaya tampil membantu golongan miskin,” katanya.

Pada majlis itu semalam, Adenan turut menyampaikan Anugerah Peserta Terbaik 1AZAM yang terbahagi kepada empat kategori iaitu AZAM Tani, AZAM Niaga, AZAM Khidmat dan AZAM Kerja.

Semua empat kategori anugerah ini masing-masing dimenangi Wesley Penyangkal, Jeffery Musa, Yusuf Lumpok dan Norhuzaimah Salleh dan menerima Sijil Simpanan Premium BSN bernilai RM1,500 berserta sijil dan plak.

Turut hadir, isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk Daud Abdul Rahman serta lain-lain.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget