Adenan jamin konflik TERAS-UPP selesai sebelum penamaan calon


KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem memberi jaminan bahawa masalah membabitkan dua parti Barisan Nasional (BN) Plus akan diselesai sebelum hari penamaan calon.

Dua parti BN Plus yang dimaksud beliau juga Pengerusi BN Negeri ialah Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP).

“Perkara ini akan diselesai dengan satu cara atau cara lain dan yang pasti sebelum hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Karnival 1AZAM dan pelancaran Buku Info Bantuan di Kompleks Kubah Ria, Satok di sini semalam.

Adenan juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengesahkan bahawa PBB akan bertanding di 40 kerusi pada PRN ini.

Daripada 40 kerusi itu, lima merupakan kerusi baharu manakala 35 lagi kerusi merupakan kerusi tradisi yang ditandingi oleh PBB pada PRN yang lalu.

“Saya percaya Parti Rakyat Sarawak (PRS) telah hampir memuktamadkan senarai penuh calon mereka termasuk beberapa kerusi baharu yang mereka intai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Adenan berharap kerajaan pusat tidak akan mengurangkan peruntukan bagi tujuan pembangunan di Sarawak dalam semakan semula bajet nanti.

Katanya, meskipun Perdana Menteri tidak menyentuh mengenai pengurangan atau pemotongan bagi perbelanjaan pembangunan namun beliau tidak perlu terlalu yakin.

“Kita di Sarawak berharap semakan semula bajet oleh Perdana Menteri nanti tidak akan menjejaskan perbelanjaan pembangunan bagi negeri ini,” katanya.

Semakan semula Bajet 2016 akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Parlimen pada hujung bulan ini.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget