KUCHING: Rakyat terutama di luar bandar digesa memberi lima tahun lagi kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem untuk terus mengemudi negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa berkata, corak kepimpinan Adenan sejak mengambil alih tampuk pentadbiran negeri kira-kira dua tahun lalu amat hebat dan cukup disenangi sama ada rakan mahupun lawan.
“Justeru, adalah sesuatu yang merugikan sekiranya pentadbiran beliau terhenti setakat sebulan dua ini sedangkan kita di luar bandar amat memerlukan sentuhan ‘magis’ dalam mengangkat kualiti kehidupan rakyat menerusi pembangunan yang dibawanya kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Cek MRP dan ‘walkabout’ di Rumah Kudang Juyok, Berenggang di Lubok Antu semalam.
Katanya bukan terlalu mendewa-dewakan Adenan, tetapi gaya kepimpinan beliau sangat mengagumkan dan dalam tempoh singkat telah melakar sejumlah 45 pencapaian yang kesemuanya sangat berkait rapat dengan kita terutama rakyat di luar bandar.
“Antaranya penurunan tarif elektrik, menghapuskan bayaran tol, pengiktirafan tanah NCR, meningkatkan kuasa autonomi pendidikan selain tambang feri hanya RM1 dan sebagainya.
“Malah bagi rakyat yang kurang berkemampuan dan menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, elaun itu telah dinaikkan sebanyak RM50 sebagai langkah mengurangkan beban perbelanjaan mereka,” katanya.
Bercakap lanjut, Dr Rayong mahu rakyat khususnya pengundi tidak membazirkan undi mereka kelak dengan mengundi pembangkang sebaliknya menzahirkan sokongan kepada semua calon Barisan Nasional (BN) yang bakal bertanding di kawasan masing-masing.
“Jika anda mahu negeri ini terus membangun dan anda bangga menjadi warga Sarawak maka pilihan yang anda ada ialah dengan memangkah setiap calon BN,” ujarnya.
“Usah terpengaruh dengan dakyah pembangkang kerana mereka hanya bijak menyusun kata dan memerangkap undi anda tetapi tidak berupaya membantu anda kelak terutama kita di luar bandar,” katanya yang senada dengan pucuk kepimpinan negeri yang mahu rakyat menolak semua parti yang berasal dari Semenanjung Malaysia yang terdiri daripada DAP, PKR, AMANAH dan PAS.
Mengenai pembangunan di konstituensi Engkilili, beliau menegaskan akan melakukan yang terbaik untuk rakyat di DUNnya itu.
“Misalnya berkenaan masalah Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB), sudah saya panjangkan kepada agensi relevan dan menunggu masa untuk penyaluran bekalan elektrik sahaja selepas tiang dan kabel berjaya didirikan.
“Begitu juga jalan raya yang sudah banyak menghubungkan rumah-rumah panjang selain bekalan air terawat yang kini dalam peringkat pelaksanaan,” katanya.
Justeru Dr Rayong mahu rakyat terus memberi kepercayaan kepada beliau yang akan dipertanggungjawabkan mempertahankan DUN berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Bukan rahsia tersembunyi bahawa saya akan mempertahankan DUN ini mewakili BN… maka tidak ada sebab untuk anda rasa ragu-ragu sebaliknya bersama-sama saya menghadiahkan mandat yang kukuh kepada Adenan selaku Ketua Menteri kita untuk penggal seterusnya,” katanya.
“Percayalah, akan lebih banyak pembangunan menyusul selepas kita berjaya meneruskan kesinambungan pemerintahan yang ada kini dan hanya BN yang mampu membantu dan mendengar rintihan anda…bukan calon bebas atau pembangkang,” katanya.
Dalam pada itu, Tuai Rumah Kudang Juyok yang mewakili anak buahnya menzahirkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Dr Rayong yang akan mempertahankan DUN ini kelak.
“Kami masih dahagakan pembangunan dan berharap agar Dr Rayong dapat mewakili seterusnya menyalurkan pembangunan di rumah panjang ini.
“Sehubungan itu, saya berharap pengundi di rumah panjang ini dan konstituensi Engkilili amnya terus menyokong beliau pada PRN akan datang kerana beliau sangat prihatin, rajin dan berjiwa rakyat…orang seperti inilah yang kita mahukan sebagai wakil rakyat dan turut berada dalam kabinet akan datang,” katanya.
Terdahulu, Dr Rayong menyampaikan geran MRP bernilai RM5,000 kepada Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Kudang Juyok serta meluluskan segera bantuan kipas bernilai RM4,000 dengan jumlah keseluruhan ialah RM9,000.
Turut hadir Penghulu Inchang Ancheh, beberapa kaunselor dan tuai rumah.
- Borneo Post Online
Post a Comment