KUALA LUMPUR: Keputusan berkaitan dengan percalonan pilihan raya tidak harus dibuat kaum atau agama, sebaliknya tetapi berdasarkan kualiti calon dan keampuhan strategi masing-masing.
Setiausaha Eksekutif Publisiti Sosialis Muda DAP, Muhammad Shakir Ameer, berkata politik berasaskan sentimen agama dan perkauman masih menjadi kelemahan politik di negara ini kerana mudah dimanipulasi media pro-UMNO dan konco-konconya.
Malah, katanya DAP biasanya ‘dikambing hitam’ kerana prinsipnya yang mengutamakan kebebasan, hak saksama, keadilan sosial dan solidariti sekaligus mencabar dominasi politik kaum dan agama yang dikuasai UMNO-BN.
Bagaimanapun, beliau berkata, tanggapan negatif dalam kalangan pengundi Melayu terhadap DAP disedari oleh pimpinan parti yang sentiasa suba mengubahnya sambil tetap mengekalkan prinsip perjuangan.
“Justeru, cadangan untuk meletakkan calon Melayu DAP menggunakan PKR atau Parti Amanah Negara (Amanah) sesuatu yang DAPSY tidak setuju,” katanya pada kenyataan media hari ini merujuk cadangan Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad.
Semalam, Dzulkefly mencadangkan calon DAP yang bertanding peringkat DUN tidak menggunakan logo DAP bagi meraih undi masyarakat Melayu-Islam, sebaliknya menggunakan logo Amanah atau PKR.
Pada Persidangan Pimpinan Pakatan Harapan itu, beliau memberi alasan ia berikutan DAP kerap difitnah UMNO BN sebagai bersikap kononnya anti-Melayu dan anti-Islam
Sebaliknya, Presiden Amanah, Mohamad Sabu kemudian memberi jaminan Amanah tidak akan terperangkap dengan politik perkauman manakala Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyatakan cadangan Dzulkefly tidak mencerminkan pendirian Pakatan Harapan.
Mengingatkan betapa salah guna politik agama yang dibuat pimpinan PAS membawa penubuhan Amanah, Muhammad Shakir berharap Dzulkefly tidak terjerat dengan permainan politik perkauman dan agama seperti yang dimainkan PAS dan UMNO.
“DAPSY berharap persefahaman dan kerjasama politik bersama komponen Pakatan Harapan sebagai permulaan baru untuk mengubah politik tanah air berdasarkan persefahaman politik yang matang,” katanya.-Roketkini
Post a Comment