KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud memberi penghormatan kepada Sekolah St Joseph atas sumbangan besar dalam melahirkan ramai pemimpin berwibawa bagi negeri ini.
Taib yang merupakan antara penuntut Sekolah St Joseph pada 1963, berkata selain dua Yang di-Pertua Negeri, sekolah berkenaan juga telah melahirkan tiga Ketua Menteri iaitu Allahyarham Tun Abdul Rahman Yaakub dan Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem selain beliau sendiri.
“Apabila saya mengimbas kembali zaman persekolahan di St Joseph, saya menyedari bahawa ia merupakan pengalaman yang paling bernilai bagi saya.
“Malah pengalaman tersebut telah menjadi bekalan kepada saya untuk menjadi seorang pemimpin yang mampu memahami orang lain terutama rakyat yang berbilang kaum dan agama di negeri ini,” katanya.
Taib berkata demikian ketika berucap pada Jamuan Malam Sambutan Jubli Kelas 1963 Sekolah St Joseph 2015 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK ) di sini kelmarin.
Turut hadir Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib, isteri kepada Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu, Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Menteri Kanan Tan Sri James Masing serta yang lain.
Mengimbas kembali zaman persekolahan di St Joseph, Taib mengakui beliau amat tersentuh dengan sikap toleransi yang ditunjukkan oleh saudara-saudara Kristian terhadap pelajar Melayu Islam.
“Saya masih ingat lagi betapa risaunya kami pelajar Melayu Islam untuk meminta kebenaran daripada pengarah sekolah ketika itu untuk keluar menunaikan solat Jumaat.
“Namun saya diberitahui oleh pengarah sekolah ketika itu bahawa semua pelajar Melayu Islam dibenarkan untuk keluar menunaikan solat Jumaat jika kami benar-benar mahu berbuat demikian.
“Ini merupakan pengajaran yang paling bernilai bagi saya dan sehingga hari ini saya menyedari bahawa menuntut di St Joseph mengajar saya supaya tidak membeza-bezakan antara rakan-rakan sama ada Cina, Melayu, Bidayuh atau lain-lain,” katanya.
Bagi menceriakan suasana majlis pada malam itu, tetamu dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh Elvis kelahiran St Joseph sendiri iaitu Alex Ling yang juga merupakan pengerusi pengelola majlis selain persembahan tarian.
Ketua Menteri yang sememangnya berbakat dalam bidang nyanyian turut tidak melepaskan peluang untuk menyumbangkan dua lagu kegemaran beliau sebelum majlis berakhir dengan nyanyian lagu St Joseph.
- Borneo Post Online
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.