Tiong umum RM1.55 juta geran kerajaan pusat untuk Marudi


MARUDI: Peruntukan kerajaan persekutuan berjumlah RM1.55 juta telah diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyelesaikan segera masalah-masalah dikenal pasti di konstituensi Marudi.

Perkara itu diumumkan Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Datuk Seri Tiong King Sing semasa Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Kompeni Agon Janjong Mawang di Ulu Teru Tinjar, Marudi Sabtu lepas.

Bercakap kepada lebih 1,200 penduduk diketuai 45 tuai rumah dan 15 wakil tuai rumah yang datang daripada 61 rumah panjang dari kawasan Bakong, Tiong berkata beliau terpaksa meminta bantuan daripada kerajaan pusat kerana penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi telah mengabaikan banyak kawasan di konstituensi itu.

Tiong menambah beliau menerima banyak aduan mengenai rakyat diabaikan di kaasan itu kerana projek pembangunan dilaksanakan secara terpilih dan pengagihan geran dibuat berdasarkan fahaman politik.

“Saya ada mendengar banyak perkara, mereka diabaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri di sini, jadi saya terpaksa mendapatkan bantuan Datu Penguang untuk menyusun senarai keperluan segera dan memohon peruntukan untuk menyelesaikan masalah-masalah dibangkitkan,” ujarnya.

Datu Dr Penuguang Manggil merupakan setiausaha tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti, calon dikenal pasti oleh SPDP untuk bertanding di DUN Marudi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Hadir sama, Setiausaha Politik Ketua Menteri Alexander Asing dan Setiausaha Parti Rakyat Sarawak (PRS) Senadin Egi Bangan.

Tiong berkata sebagai wakil rakyat, Entri seharusnya tidak mengabaikan kawasan-kawasan atau rumah-rumah panjang yang mempunyai fahaman (parti) politik berbeza daripadanya kerana beliau merupakan ADUN untuk konstituensi itu bukan hanya untuk ahli partinya.



“Saya telah menerima aduan dan mendengar rungutan daripada akar umbi bahawa banyak masalah tidak diselesaikan di konstituensi kerana YB ketika ini ‘memekakkan telinga’ kepada suara rakyat,” tambahnya.

Tiong juga berkata SPDP mempunyai tanggungjawab moral untuk tampil membantu rakyat Marudi yang dipinggirkan kerana kerusi dimenangi Entri sebagai calon parti di bawah Barisan Nasional (BN).

Presiden SPDP itu turut menasihati ketua masyarakat memainkan peranan sebagai jambatan antara kerajaan sebagai pemimpin di peringkat akar umbi.

Katanya sebagai barisan hadapan kerajaan negeri, mereka (ketua masyarakat) seharusnya mendengar masalah-masalah diajukan kepada mereka seterusnya mendapatkan maklum balas daripada pihak berkuasa atau berwajib.

Sementara itu, salah seorang ketua masyarakat yang hadir pada sesi dialog itu, Andrew Amin dari Long Marigam, mengadu kepada SPDP bahawa Penan di kawasan itu seperti dipinggirkan oleh penyandang kerusi DUN Marudi kerana permintaan mereka mendapatkan dana sebelum ini bagi membina gereja sehingga hari ini tidak mendapat jawapan.

“Bagaimanapun, kami akhirnya menerima berita gembira selepas menyuarakan keperluan kami ini kepada Presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing menerusi Datu Penguang kerana beliau mengumumkan Perdana Menteri sudah berjanji memberi peruntukan RM30,000 untuk membina St Paul Church di Long Marigam dan beliau memperuntukkan peruntukan tambahan RM20,000 untuk membina gereja kami,” kata Andrew.

Semasa majlis itu Tiong turut mengumumkan peruntukan RM20,000 untuk Rumah Kompeni Agon bagi memperbaiki rumah panjang tersebut.

Pada majlis sama, empat rumah panjang di kawasan Bakong yang mendakwa bekas penyokong kuat Parti Keadilan rakyat (PKR) berikrar memberi kesetiaan kepada SPDP dengan menyertai parti itu.

Empat ketua rumah panjang itu, iaitu Tuai Rumah Doris, Tuai Rumah Jeffery, Tuai Rumah Larek dan Tuai Rumah Salleh menerima pakaian seragam mereka daripada Tiong.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget