Tiada respons SUPP punca penubuhan jawatankuasa SUPP, UPP tergantung


KUCHING: Arahan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem supaya Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) agar menyelesaikan pertikaian antara dua parti itu sebelum 1 Disember ini masih lagi tergantung.

Walaupun UPP menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan parti Cina tertua di negeri ini, SUPP, memandangkan Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi, namun ia masih tidak mendapat sebarang respons daripada SUPP untuk persetujuan penubuhan jawatankuasa untuk kedua-dua parti itu.

Presiden UPP Dato Sri Wong Soon Koh berkata, kedua-dua parti itu telah diarahkan oleh Adenan semasa perjumpaan tertutup yang berlangsung pada 19 Oktober untuk menubuhkan jawatankuasa yang dikenali sebagai ‘Ten-Men Committee’ (lima daripada SUPP dan lima daripada UPP) bagi membincang serta membuat keputusan untuk pembahagian kerusi dalam masa sebulan.

“Ketua Menteri telah meminta saya memulakan inisiatif untuk berbincang tetapi saya tidak dapat berhubung dengan Presiden SUPP Senator Datuk Dr Sim Kui Hian.

“Selain itu, saya juga telah membuat keputusan untuk menulis surat kepadanya, sebenarnya sudah dua kali, iaitu pada 23 Oktober lalu dan selepas itu, tetapi masih tidak mendapat sebarang respons daripadanya (Dr Sim),” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan Deepavali Extravaganza di kompleks beli belah Riverside di sini, semalam.

Menurut Wong, ia merupakan arahan dan perkiraan daripada Adenan bahawa pertikaian antara dua pihak itu haruslah diselesaikan dengan cara yang memberi kepuasan kepada kedua-dua pihak.

“Saya rasa alasan beliau (Adenan) mahu mengatur perkara ini ialah kerana dalam fikirannya berfikir dua aspek; di mana yang pertama ialah perpaduan masyarakat Cina dan yang kedua ialah berhubung perpaduan seluruh pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN),” ujarnya.

Ketika disoal mengenai tindakan seterusnya daripada UPP sekiranya SUPP masih berdegil sehingga menjelang 1 Disember ini, jelas Wong yang merupakan Menteri Kewangan Kedua, pihaknya akan menyerahkan perkara itu kepada Adenan untuk membuat keputuan seterusnya.

“Saya faham bahawa SUPP mengadakan Persidangan Delegasi Tahunan semalam (Sabtu) dan ia kelihatan seperti mereka tidak akan berkompromi dengan 19 kerusi miliknya.

“Sebenarnya saya juga ada membaca laporan akhbar yang mengatakan pihak mereka (SUPP) telah menolak cadangan itu.

“Tidak ada banyak benda kami dapat lakukan. Arahan itu adalah daripada Ketua Menteri jadi kita akan menyerahkan perkara tersebut kepadanya untuk membuat sebarang keputusan,” jelasnya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget