SKMM perlu menanganinya bagi membolehkan guru dan murid di bahagian Kapit melayari Internet: Ugak
KAPIT: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu menangani masalah kemudahan telekomunikasi dihadapi guru dan murid di sekolah luar bandar di bahagian ini khususnya Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Antaroh.
Ahli Parlimen Hulu Rejang Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, langkah berkenaan penting bagi membolehkan guru dan murid di sekolah luar bandar khususnya di SK Nanga Antaroh dapat melayari Internet.
Katanya masalah itu memberi kesukaran kepada guru yang perlu mengemuka laporan harian sekolah masing-masing secara atas talian.
“Ada juga guru terpaksa turun ke bandar Kapit semata-mata hanya untuk MENDAPATKAN kemudahan telekomunikasi bagi membolehkan mereka melayari Internet dan mengemuka laporan harian sekolah masing-masing secara atas talian.
“Mereka terpaksa mengorbankan masa setengah hari daripada rutin harian pengajaran masing-masing.
“Keadaan ini bukan sahaja membawa kesukaran kepada guru, malah turut memberi kesan kepada pembelajaran murid,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Sijil dan Hadiah SK Nanga Antaroh, baru-baru ini.
Wilson Ugak turut menggesa murid SK Nanga Antaroh supaya sentiasa menghayati budaya berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.
Beliau berkata langkah berkenaan penting kerana kecemerlangan dalam bidang akademik dapat menentukan kejayaan pada masa depan.
“Pendidikan adalah senjata penting untuk bersaing dalam dunia globalisasi ini, ia juga mengubah nasib dalam kehidupan dan mengeluarkan diri anda daripada kepompong kemiskinan.
“Justeru, saya minta semua pelajar di kawasan luar bandar khususnya SK Nanga Antaroh supaya menjadikan budaya kecemerlangan sebagai budaya dalam kehidupan,” katanya sambil berterima kasih kepada warga pendidik kerana telah berusaha keras membawa pendidikan di sekolah luar bandar.
Turut hadir Setiausaha Politik Ketua Menteri Wilson Nyabong Ijang, Guru Besar SK Nanga Antaroh Jarit Jamit dan wakil pegawai pendidikan Kapit.-Utusan Borneo
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.