SPDP bertegas terhadap ahli keluar parti


SIBU: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Dudong menjelaskan bahawa resolusi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) mereka Sabtu lalu tidak membenarkan ahli-ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) meninggalkan parti bagi menyertai sebuah parti baharu, menyertai semula BN.

Pengerusinya Teo Boon Siew berkata ini adalah pendirian jawatankuasa pusat SPDP dan mereka akan menyokongnya.

Bahagian itu juga memutuskan melindungi semua lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan empat kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada SPDP dalam BN dan tidak menyerahkannya kepada pihak lain.

“Kami mahu mempertahankan parti dan mahu keadilan pembahagian kerusi DUN dalam semangat kekeluargaan BN,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat tersebut di ibu pejabat SPDP Zon Tengah, Jalan Chengal di sini, Sabtu lalu.

Walaupun resolusi itu tidak menyebut mana-mana parti, jelas ia merujuk kepada Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) berdasarkan kepada perkembangan politik di Sarawak.

Bahagian itu juga memutuskan untuk merayu kepada pusat parti mereka agar melindungi peruntukan jawatan dalam jabatan-jabatan kerajaan untuk SPDP dan memohon jawatan pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) yang kini disandang Kaunselor James Laju Ambok diberi kepada SPDP.

Mereka turut memutuskan untuk merayu kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengenai pelantikan pemimpin masyarakat daripada SPDP Sibu sambil menambah SPDP tidak mempunyai jawatan pemimpin masyarakat di sini.

“Ini adalah perkongsian kepimpinan dalam keluarga BN dan BN Negeri tidak boleh membiarkan ahli-ahli parti bukan BN menyalahgunakan perkongsian dalam keluarga BN,” jelasnya.

Dalam mesyuarat itu, Teo menggesa ahli-ahli parti memberi sokongan kepada semua calon BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau juga menggesa ahli-ahli parti menyokong sepenuhnya kepimpinan Adenan.

Beliau berkata sejak Adenan mengambil alih jawatan, beliau banyak menyumbang kepada pembangunan Sarawak dan pada PRN nanti komitmen BN Sarawak perlu diterjemahkan dengan kemenangan.

Menurutnya, Sarawak akan terus berubah di bawah Adenan kerana beliau adalah seorang pemimpin yang terbuka hati untuk semua rakyat Sarawak tanpa mengira kaum.

“Ini terbukti dalam usaha-usaha kerajaan negeri memberi dana untuk pembangunan sekolah-sekolah Cina di Sarawak,” katanya.

Teo turut menggesa ahli SPDP menyokong kepimpinan parti di bawah Presidennya Datuk Seri Tiong King Sing.-Utusan Borneo
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget