Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata ia cuma inisiatif kerajaan negeri atas dasar kemanusiaan.
“Tiada niat untuk (kita) mencampuri urusan perundangan di Singapura, cuma inisiatif ini atas dasar kemanusiaan, jika dapat dipertimbangkan kerajaan negara itu.
“Usaha ini juga bukan untuk menidakkan keinginan keluarga mangsa yang mahu melihat keadilan. Kita juga memahami kesedihan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas usaha Kerajaan Negeri Sarawak menerusi Nancy mengemukakan rayuan kepada Kerajaan Singapura agar meringankan hukuman ke atas Jabing daripada hukuman gantung sampai mati kepada hukuman penjara seumur hidup.
Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat percaya jika diberi peluang banduan boleh memperbaiki diri dan berjaya dalam hidup.
“Menerusi pengalaman saya bersama pesalah yang dipenjara dan mengikuti program Sekolah Integriti di Penjara Puncak Borneo Kuching, saya sangat percaya setiap orang berhak diberi peluang kedua.
“Kejayaan bekas banduan seperti A.D Leong harus dijadikan contoh, beliau kini menjadi usahawan, motivator dan pekerja sosial yang berjaya,” katanya.
Justeru ujarnya, beliau menyokong usaha kerajaan negeri itu merayu kepada Kerajaan Singapura agar meringankan hukuman ke atas Jabing.
Sementara itu, Menteri Muda Belia merangkap Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Singapura mempunyai sistem perundangan yang bebas dan berdaulat.
“Kita menghormati sistem perundangan mereka sebagai mana kita mahu mereka menghormati sistem perundangan kita.
“Secara prinsipnya, keputusan sudah dibuat oleh Kehakiman Singapura. Adalah tidak wajar untuk kerajaan negeri atau pusat untuk campur tangan dalam cara penghakiman Singapura menentukan penghakiman mereka,” ujar Karim.
Beliau bagaimanapun berkata, adalah tidak salah untuk kerajaan negeri atau pusat untuk memohon pertimbangan agar penghakiman dikurangkan sekiranya ada ruang.
Ia tambahnya, bukan untuk campur tangan dalam cara penghakiman Singapura membuat keputusan tetapi atas dasar perikemanusiaan dan prihatin terhadap anak negeri ini yang berdepan masalah di luar negara.
Pada 11 November lalu, Pejabat Ketua Menteri dalam satu kenyataannya memberitahu bahawa Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem akan mengemukakan surat rasmi menerusi Kedutaan Singapura dalam usaha memohon pertimbangan meringankan hukuman ke atas Jabing.
Ia merupakan usaha kerajaan negeri membantu Jabing yang kini berdepan hukuman gantung sampai mati di Singapura atas kesalahan membunuh warga China, Cao Ruyin pada 2007.
Jabing, 31, dijatuhi hukuman mati pada 2010 atas kesalahan membunuh Cao, 40.
Tahun lalu, Mahkamah Tinggi Singapura menyemak semula kes Jabing dan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dengan 24 sebatan.
Bagaimanapun, keputusan itu berubah apabila Mahkamah Rayuan negara itu memutuskan hukuman mati kekal ke atas Jabing.
Jabing sepatutnya dijadual dijatuhi hukuman gantung sampai mati Jumaat lepas tetapi pelaksanaan ditangguhkan sehari sebelum hukuman dijatuhkan iaitu Khamis.
Mahkamah sama kemudiannya memberi masa kepada peguam Jabing sehingga 23 November ini untuk mengemukakan usul krisis (Motion of Crisis) bagi membolehkan kesnya dikemukakan semula.
Keputusan Mahkamah Rayuan Singapura itu turut menjadi kejutan kepada ramai aktivis hak asasi manusia yang mengatakan ia tidak pernah berlaku dalam sejarah Singapura, apabila pelaksanaan hukuman gantug ditangguhkan pada saat akhir.-Utusan Borneo

Post a Comment