Saya berterima kasih kepada Najib, kata bekas presiden MCA mengenai RM2.6 bilion


Bekas presiden MCA, Tan Sri Dr Chua Soi Lek hari ini membuka mulut mengenai wang derma RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak, dan berkata beliau orang pertama yang berterima kasih kepadanya kerana bersetuju membiayai kempen parti komponen Barisan Nasional (BN).
"Saya ingat dengan jelas, saya yang pertama berterima kasih kepadanya," kata Chua, menceritakan satu mesyuarat majlis tertinggi BN sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada Mei 2013.

"Saya sebut yang saya sudah menyertai politik selama 20 tahun dan melalui lima pilihan raya umum, kami tak pernah terima sesen pun daripada BN.

"Jadi semua bersetuju dan berterima kasih kepada beliau.

"Dan sewaktu pilihan raya, beliau menunaikan kata-katanya dan memberikan dana itu," katanya dalam wawancara bersama Cari.com.

Ditanya jika beliau yakin wang itu digunakan sepenuhnya untuk PRU13, Chua mengatakan tidak tahu tentang perkara itu.

"Tentunya, tidak ada yang tahu jika ada sebahagiannya tidak digunakan untuk pilihan raya itu.

"Kerana itulah kita perlu menunggu siasatan selesai," katanya.

Julai lalu Sarawak Report dan The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan sejumlah RM2.6 bilion dikesan berada di dalam akaun peribadi Najib.

Sebahagian wang itu didakwa datang daripada SRC International, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membersihkan 1MDB sebagai punca asal wang itu.

Namun, siasatan ke atas SRC International masih diteruskan SPRM.

Sementara itu, dalam wawancara sama Chua turut memberitahu beliau ada bertemu Najib walaupun sudah bersara daripada politik.

Menurutnya, beliau memaklumkan Najib walaupun sokongan terhadapnya kelihatan kukuh di peringkat atas, perdana menteri masih perlu berusaha keras meyakinkan orang ramai di peringkat akar umbi.

"Saya beritahu beliau yang beliau masih ada banyak kerja perlu dilakukan. Beliau perlu meyakinkan orang ramai yang wang di dalam akaunnya tidak salah di sisi undang-undang.

"Selagi mana wang itu tidak datang daripada kerajaan atau 1MDB, tiada apa-apa yang salah.

"Kerana di Malaysia, tiada undang-undang mengkehendaki anda melaporkan sebarang wang yang didermakan orang bagi tujuan pilihan raya," katanya.

- The Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget