Rakyat dinasihati tidak menerima pembangkang dari Semenanjung Malaysia


SRI AMAN: Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang menasihati rakyat negeri ini agar jangan menerima kehadiran pembangkang dari Semenanjung Malaysia terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Katanya lebih baik rakyat negeri ini menyokong parti politik tempatan daripada Barisan Nasional (BN) daripada menyokong pemangkang dari Semenanjung Malaysia.

Jabu mendakwa parti pembangkang dari Semenanjung Malaysia tidak tahu pertuturan, budaya dan adat resam kaum Sarawak berbanding BN yang sudah bertapak lama di negeri ini.

“Sokonglah parti politik BN Sarawak kerana BN Sarawak arif dan faham budaya serta bahasa rakyat negeri ini,” katanya ketika mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem merasmikan Seminar Kepimpinan Akar Umbi Negeri Sarawak 2015 (Bahagian Sri Aman) di sini, semalam.

Seramai 531 ketua masyarakat dan ketua kaum dari Lubok Antu, Engkilili, Sri Aman, Pantu, Bukit Begunan dan Lingga menyertai seminar itu.

Selain itu, Jabu menasihati rakyat Sarawak agar jangan bersama pembangkang pada PRN nanti memandangkan mereka pernah mengganggu usaha kerajaan negeri membangunkan kawasan luar bandar.

“Pembangkang pernah menghalang usaha kerajaan negeri melaksanakan projek pembangunan menelan kos sejumlah RM500 juta untuk rakyat luar bandar,” katanya.

Beliau memohon rakyat agar menambah undi majoriti kepada BN berbanding pada PRN sebelum ini agar teraju kerajaan negeri terus kekal bagi meneruskan kesinambungan pembangunan Sarawak.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Masir Kujat, Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Muda Perumahan Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Pertanian Datuk Mong Dagang, ADUN Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa, ADUN Lingga Simoi Peri serta para pegawai kerajaan.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget