PRN Sarawak dijangka diadakan lebih awal


KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 diadakan lebih awal daripada tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) dijadual dibubarkan iaitu pada 19 Jun 2016.

Pengerusinya Tan Sri Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof bagaimanapun berkata SPR tidak boleh menentukan dengan tepat tarikh sebenar PRN Sarawak akan diadakan namun berdasarkan sistem diguna pakai negara ini biasanya pilihan raya diadakan lebih awal daripada tarikh DUN atau Parlimen dibubarkan.

“DUN Sarawak paling lewat pun akan dibubar pada 19 Jun 2016, lima tahun selepas mesyuarat pertama setelah Pilihan Raya Negeri Ke-10 (2011).

“Jika TYT tidak membubarkannya ia akan bubar dengan sendirinya, selepas lima tahun.

“Saya berkata begitu kerana paling lewat SPR akan mengadakan Pilihan Raya Negeri Sarawak ialah 19 Ogos 2016.

“Tetapi dalam sistem negara kita, biasanya pilihan raya akan diadakan lebih awal (daripada tarikh pembubaran DUN atau Parlimen),” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Terdahulu beliau menyampaikan ucaptama pada Sesi Taklimat Kepada Petugas Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 yang turut dihadiri Pengarah SPR Negeri Sarawak Datu Takun Sunggah serta pegawai-pegawai kanan SPR.

Selain itu katanya, laporan akhir persempadanan semula kawasan DUN Sarawak membabitkan 11 kerusi baharu iaitu Batu Kitang, Stakan, Serumbu, Triboh, Gedong, Kabong, Tellian, Selirik, Murum, Samalaju dan Long Lama telah diserahkan kepada Parlimen.

“Saya dimaklumkan ia akan dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat pada 2 Disember depan.

“Apabila telah dibentang, urusan seterusnya ialah memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum diwartakan,” katanya sambil menambah, tempoh maksimum untuk mewartakan 11 kawasan DUN baharu itu ialah sebulan.

Tambahnya lagi: “Maka dari segi undang-undang sahlah DUN Sarawak akan bertambah daripada 71 kepada 82.”

Justeru ujarnya, dengan mengambil kira perkara itu SPR perlu mempersiapkan diri lebih awal untuk memastikan PRN Sarawak Ke-11 berjalan dengan baik dan lancar.

“SPR sebagai badan mengendalikan pilihan raya perlu membuat persediaan pertamanya dari segi tenaga kerja kerana SPR tidak mempunyai pegawai dan kakitangan yang cukup untuk mengendalikan pilihan raya umum atau kecil.

“SPR terpaksa bergantung kepada jabatan-jabatan lain seperti pejabat daerah, jabatan pendidikan, majlis bandar raya dan majlis tempatan untuk membantu.

“Oleh itu pegawai sementara yang dilantik ini perlu diberi latihan supaya betul-betul faham peranan mereka menjelang pilihan raya nanti.

“Pegawai pengurus (RO) misalnya dilantik secara sementara dan tugasnya tertakluk kepada undang-undang tertentu dan ia bertanggungjawab hingga ke mahkamah sebagai saksi sekiranya ada bantahan,” jelasnya.

Sehubungan itu beliau berharap pelaksanaan PRN Sarawak akan menjadi contoh kepada negeri lain khasnya berkaitan keputusan penambahan kerusi baharu DUN Sarawak.

“Persembahan DUN Sarawak harus menjadi contoh kepada negeri lain, untuk memastikan bahawa segala tindakan kita buat mesti mengikut undang-undang,” ujarnya.

Mengenai sesi taklimat dan latihan itu, Abdul Aziz berkata ia akan diadakan di Zon Sri Aman hari ini (17-18 November), diikuti Sibu (18-19 November) dan Miri (19-20 November).-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget