Penghuni 17 pintu Rh Angol Ubin kini nikmati bekalan air bersih


MARUDI: Penghuni rumah panjang 17 pintu di Sungai Stapang A iaitu Rumah Angol Ubin berasa gembira akhirnya menikmati bekalan air bersih melalui Projek Bekalan Air Bersih dan Alam Sekitar (BAKAS) yang siap dan dirasmi petang Rabu lalu, oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau.

Dennis dalam ucapannya turut memuji dan menghargai usaha Jabatan Kesihatan Sarawak (JKS) melakukan perkhidmatan terbaik membawa keperluan asas itu ke Rumah Angol.

Paip air dibangunkan menggunakan sistem graviti itu merupakan kedua di kawasan Poyut/Lubok Nibong dan dibina jabatan itu melalui gotong-royong bersama penduduk rumah panjang.

Sebelum Rumah Angol, rumah panjang pertama merasai kemudahan bekalan air bersih menggunakan sistem graviti itu ialah Rumah Lalo Akang di Sungai Selejau, yang dirasmi pada bulan April lepas.

Menurut Dennis lagi, projek air bersih tersebut amat penting untuk penduduk di rumah panjang.

Sehubungan itu Dennis berharap agar usaha tersebut akan membawa harapan kepada rumah panjang lain yang tiada sungai bagi mendapatkan sumber air.

Katanya, sebanyak 82 peratus penduduk di Sarawak sudah ada bekalan air bersih dan ada antara kawasan itu mengalami kekurangan air bersih.

“Antara kawasan terlibat ialah kawasan Telang Usan, Baram dan Belaga serta beberapa kawasan pedalaman terletak jauh dari kawasan bandar,” katanya.

Menurutnya, sistem paip graviti, ini telah bermula sejak 1960-an dan hingga hari ini sebanyak lebih 2,000 paip air mengguna pakai sistem graviti berkenaan.

Bermula awal 2016 hingga 2020, Jabatan Kesihatan merancang membina paip graviti sebanyak 400 lagi di beberapa kampung dan kawasan di negeri ini dan di bawah Projek Strategi Laut Biru (BOS).

Justeru kos pembinaan paip air bersih di dua rumah panjang tersebut iaitu Rumah Stapang A dan Rumah Stapang E, masing-masingnya membelanjakan lebih RM70,000 dan RM200,000 untuk tujuan tersebut.

Bagi projek paip graviti rumah panjang Stapang A iaitu Rumah Angol terletak sejauh tiga kilometer dari sungai, telah dibina dalam masa tidak sampai sebulan.

Sementara itu juga, Dennis turut mengingatkan penduduk rumah panjang khususnya kaum Penan yang menolak projek bekalan air bersih itu, gara-gara mendengar dakyah daripada pembangkang dan NGO yang hanya menentang kerajaan.

Sebagai contohnya projek di Stapang A ini, ia sebenarnya bukan dirancang untuk Rumah Angol tetapi diberi kepada rumah panjang suku kaum Penan di Baram, namun ditolak oleh mereka, menyebabkan ia akhirnya diberikan kepada Rumah Angol.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pegawai Kesihatan Daerah Marudi, Dr Neilson Richard Seling, Ketua Pegawai Kesihatan Persekitaran Negeri Sarawak, Akbar Bedul; Presiden Union Inspektor Kesihatan, Sabri Sahari, Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan (BAKAS), Peter Asut serta ketua kaumnya, Tuai Rumah (TR) Angol Ubin.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget