KUCHING: Pembahagian kerusi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang antara Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) belum muktamad.
Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian berkata pembahagian kerusi antara ketiga-tiga parti itu masih di peringkat awal rundingan dan sebarang kemungkinan boleh berlaku apabila tiba hari pilihan raya kelak.
Justeru beliau tidak melihat keputusan DAP untuk bertanding 44 kerusi pada PRN akan datang, halangan besar kepada Pakatan Harapan mencapai persetujuan berhubung perkara tersebut.
“Saya berpendapat ia bukan isu… rundingan berdepan kesukaran atau sebaliknya.
“Kedua, perkara seperti ini sering berlaku tetapi apabila tiba hari mengundi, rakan gabungan selalunya akan menetapkan perancangan serta pendirian mengenai kerusi yang mahu diletakkan calon,” katanya.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai isu pembahagian kerusi antara ketiga-tiga parti itu bagi menghadapi PRN akan datang yang dijadual diadakan selewat-lewatnya Jun tahun depan.
Menurutnya proses pertama dan paling penting sebelum Pakatan Harapan mengadakan pertemuan membincangkan perkara itu ialah PKR harus menetapkan pendiriannya iaitu mempertahankan kerusi yang ia bertanding dalam pilihan raya lalu (2011).
Baru yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’ Kelalan berkata, sebelum ini PKR juga pernah mengeluarkan kenyataan parti itu berminat bertanding sekurang-kurangnya enam daripada 11 kerusi negeri yang baharu.
Bagaimanapun ujarnya, masih terlalu awal untuk didedahkan kepada umum enam kerusi negeri yang dimaksudkan itu.
“Saya melihat tiada salahnya untuk DAP menyatakan sasarannya untuk bertanding di 44 kerusi pada Pilihan Raya Negeri akan datang selagi perkara ini diambil kira dan dibangkitkan semasa rundingan nanti, saya percaya penyelesaian terbaik akan dicapai,” ujarnya.
Mengenai tarikh rundingan antara ketiga-tiga parti mengenai pembahagian kerusi, Baru berkata ia masih belum ditetapkan lagi dan kemungkinan ia akan diadakan selepas Persidangan DUN akan datang (7-16 Disember 2015).
“PKR masih menunggu pengesahan daripada DAP dan Parti Amanah, tarikh terbaik mengadakan rundingan dan sudah tentu PAS tidak akan terlibat (dalam rundingan ini),” katanya.-Utusan Borneo
Post a Comment