Munan bertanding di DUN Katibas


SIBU: Setiausaha Agung Parti Pekerja Sarawak (SWP) Munan Laja akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Katibas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Cadangan itu dibuat sebulat suara oleh SWP Cawangan Katibas pada mesyuarat mereka baru-baru ini.

Menurut kenyataan medianya semalam, SWP akan meletakkan Munan sebagai calon mereka di DUN Katibas.

“Kami sudah memutuskan mengesahkan Munan bertanding di Katibas dan yakin meletakkan calon di Katibas kerana percaya sokongan rakyat di situ masih berpihak kepada SWP memandangkan ramai ahli SWP mendaftar di kawasan tersebut.

“SWP juga percaya kebolehan dan kemampuan Munan memenangi kerusi DUN Katibas pada PRN kali ini,” jelas kenyataan itu.

Munan, 54, merupakan timbalan presiden Sarakup Dayak Iban Sarawak (SADIA) dan namanya tidak asing lagi bagi Dayak di Katibas dan negeri ini melalui persatuan tersebut.

Beliau juga pernah menjadi pegawai sebuah agensi kerajaan selama tujuh tahun.

Selain itu, Munan juga pernah menjadi ahli Majlis Perbandaran Sibu (kaunselor) dari tahun 2004 hingga 2008.

Ayah Munan pernah menjadi penghulu di kawasan Katibas selama 27 tahun (1961-1988) dan ini menyebabkan mereka sekeluarga mempunyai hubungan erat dengan rakyat.

Ini membolehkan Munan mempunyai kelebihan serta sangat sesuai menjadi calon SWP di kawasan DUN Katibas.

Semasa mesyuarat cawangan SWP itu, ahli-ahli turut membincang hala tuju parti itu menghadapi PRN dan berusaha bekerjasama dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP).-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget