Menurut mereka, jalan berkenaan bukan sahaja berlubang-lubang yang menyukarkan kenderaan melaluinya malah lebih berbahaya ketika musim hujan kerana licin disebabkan tanah becak daripada bahagian jalan yang sudah mulai pecah.
“Keadaan jalan rosak dan berlubang-lubang di sana sini menjadi lebih sukar dilalui sejak beberapa minggu lalu kerana cuaca kerap hujan,” kata seorang pengguna Jalan Miri-Marudi di sini semalam.
“Hujan turun tanpa henti minggu lalu menyebabkan keadaan jalan semakin teruk kerana bukan sahaja lubangnya bertambah besar dan licin, tetapi keadaan sudah sedia pecah menyebabkan tanah hitam pada dasarnya timbul,” katanya sambil menambah keadaan tersebut tidak ubah seperti ketika mula dibina dahulu.
Sehubungan itu, para pengguna jalan itu turut meluahkan kemarahan mereka kepada syarikat yang diberi tanggungjawab terhadap kerja-kerja membaikinya kerana mutu kerja tidak berkualiti.
Justeru, ramai pengadu memohon agar pihak berkuasa bersikap lebih tegas dan mengambil tindakan segera ke atas jalan berkenaan yang tidak ubah seperti ‘lubang kejumah pada batang pokok’.
“Lubang-lubang besar dan kecil kerap kali tidak dapat dielakkan ketika memandu, terutama apabila kenderaan muncul dari kedua-dua arah.
“Ia bukan sahaja berbahaya kepada kami tetapi kereta kami juga berdepan dengan risiko kerosakan,” tambahnya sambil memberitahu ia turut melibatkan kos membaiki yang besar bergantung kepada jenis dan model kenderaan.
Menurut para pemandu, keadaan jalan paling teruk di antara Jambatan Besi Sungai Arang menuju ke Pangkalan Feri Kuala Ridan di sini.
“Ini bukan pembangunan dan jalan raya yang kami bayangkan dan sepatutnya memudahkan laluan kami, sebaliknya seperti menambahkan masalah kami dan menyakitkan hati setiap pemandu kenderaan yang melalui Jalan Miri-Marudi,” ujarnya kesal.
Oleh itu, mereka tidak terkejut atau membantah bila ada pengguna yang marah menanam anak kelapa sawit dalam lubang jalan tersebut kerana menyifatkan standard jalan amat tidak berkualiti.
Menurut pemandu, pembaikan jalan raya tersebut bukan setakat menaburnya dengan batu ‘gravel’ atau tanah liat semata-mata sebaliknya perlu diturapkan semula bagi memastikan ia lebih baik dan kukuh.
“Kontraktor yang bertanggungjawab harus menjalankan tanggungjawab diamanahkan dengan baik untuk pembangunan rakyat apatah lagi mereka sudah pasti dibayar dengan kos yang cukup untuk hasil kerja berkualiti bukan seperti jalan ini,” katanya.-Utusan Borneo

Post a Comment