Presidennya Tan Sri William Mawan Ikom berkata, ia kini hampir menjadi rutin parti menerima borang keahlian daripada pelbagai kawasan termasuk dari Saratok.
“Satu perkara jelas di sini terdapat trend apabila kumpulan sebelum ini tidak bersama kita kini menunjuk sokongan atas nama kerjasama, perpaduan rakyat dan pembangunan berterusan kepada rakyat,” katanya.
Mawan menjelaskan, beliau berasa trend dan senario itu amat baik kerana banyak kawasan terutama Saratok yang masih memerlukan pembangunan.
“Ia memerlu kerjasama termasuk pemimpin Barisan Nasional (BN),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin masyarakat dari Kalaka, Kabong dan Krian di Saratok.
Pada majlis itu juga, beliau menerima keahlian kira-kira 1,150 borang baharu untuk menyertai TERAS.
Rombongan terdiri daripada seorang pemanca, seorang penghulu, enam kaunselor serta 24 orang Tuai Rumah menyaksikan penyerahan borang keahlian terdiri daripada kawasan Kelaka (211), Kabong (257) dan Krian (682).
Mawan juga Menteri Pembangunan Sosial berkata, meskipun parti belum secara rasmi dalam BN namun beliau sebagai menteri kanan dalam kabinet Sarawak mewakili kepentingan dan matlamat BN untuk rakyat.
“Saya juga merupakan pemimpin dalam kerajaan diwakili BN dan TERAS adalah sebahagian daripada struktur ada dalam parti negeri ini.
“Saya tidak mahu hanya bercakap mengenai parti kerana saya bekerja dan menjadi sebahagian daripada pemimpin kerajaan negeri.
“TERAS pula merupakan platform memainkan peranan sama seperti komponen parti lain,” ujarnya.
Mawan pada masa sama turut menegaskan, beliau tidak ambil peduli mengenai andaian media sosial mengenai TERAS kerana parti mempunyai falsafah tersendiri untuk membuat penilaian mengenai matlamat mereka.
“Kami sebuah parti mesra serta berpandangan ke hadapan. Apa sahaja kontroversi atau perkara buruk mahu dilemparkan kepada parti, kami terima.
“Namun rakyat akan menilai terutama generasi muda berpendidikan,” kata Mawan.
Beliau juga Ahli Parlimen Saratok berkata, kawasan Saratok memang terkenal namun masih ada beberapa kawasan yang masih perlu dipercepatkan dengan pembangunan agar seiring dengan tempat lain.
“Mungkin pada masa akan datang kita perlu meletakkan Saratok dalam prospektif lebih baik melalui pelbagai program pembangunan dengan kerjasama wakil rakyat lain.
“Saratok berhak untuk mendapat pembangunan lebih mapan namun tidak bermakna kini ia tinggal di belakang kerana dari segi kelayakan pendidikan serta pengalaman masyarakatnya mereka sudah ada,” tegasnya.-Utusan Borneo
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.