Penerima perlu manfaat peruntukan ikut tujuan dalam permohonan
Penerima terdiri daripada pelbagai persatuan, pertubuhan serta jawatankuasa kerja kampung, gereja, masjid, surau, tokong termasuk sekolah jenis kebangsaan Cina.
Dalam ucapan ringkasnya, Nogeh menasihatkan penerima supaya mengguna geran berkenaan bagi tujuan seperti dipohon dalam borang permohonan.
Sebagai contoh katanya, jika permohonan bagi tujuan menaik taraf dewan maka geran itu harus diguna bagi tujuan yang sama, bukan sebaliknya.
Pada masa sama beliau turut mengingatkan penerima geran supaya membuat laporan mengenai projek yang telah dilaksanakan menggunakan geran tersebut bagi tujuan audit.
“Geran ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat dan ia harus diguna sebaiknya oleh rakyat bagi tujuan pembangunan.
“Saya tidak mahu mendengar yang salah guna geran kerajaan untuk kepentingan peribadi,” katanya pada penyampaian cek geran MRP di Pejabat Daerah Bau di sini.
Tambah Nogeh, setakat ini beliau telah mengagihkan keseluruhan peruntukan kepada beliau secara adil kepada semua penerima di bawah Parlimen Mas Gading yang terdiri daripada Tasik Biru dan Opar.
Malah katanya, peruntukan disampaikan kepada 29 penerima semalam merupakan peruntukan tambahan diberikan khas kepada beliau untuk diagih kepada rakyat di Tasik Biru.
Dalam perkembangan lain, Nogeh juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mengajak orang ramai terutama penduduk Mas Gading sama-sama memeriahkan Karninal Mas Gading pada hari ini di Pekan Bau.
Karnival julung kalinya ini menurut Nogeh diadakan sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan yang berlangsung pada November ini di Kota Samarahan.
Pada karnival itu, pelbagai agensi di bawah kementeriannya membuka tapak pameran yang menerangkan mengenai peranan masing-masing kepada golongan penternak, peladang dan nelayan termasuk penduduk setempat.
Bagi memeriahkan lagi karnival itu, turut diadakan pameran dan jualan pelbagai jenis produk pertanian yang terdapat di negeri ini kepada orang ramai dan pengunjung.-Utusan Borneo

Post a Comment