Cina perlu wakil dalam kerajaan

Dr Sim seru rakyat beri SUPP perwakilan mantap untuk lebih efektif

KUCHING: Masyarakat Cina di Sarawak perlu memberi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) perwakilan kukuh dalam kerajaan agar parti itu dapat memainkan peranan lebih efektif dalam melaksanakan dasar-dasar untuk rakyat.

Presidennya Senator Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, beliau tidak akan hilang kepercayaan terhadap parti itu walaupun ada pihak memberitahu sebaliknya.

“Beri SUPP perwakilan mantap agar kita dapat menjadi lebih berkesan dalam melaksanakan apa yang terbaik untuk Sarawak.

“Orang memberitahu saya bahawa SUPP telah selesai, tetapi dengan kehadiran anda semua di sini hari ini (semalam), saya rasa perjalanan SUPP masih jauh,” katanya ketika berucap di hadapan 300 delegasi dari seluruh negeri pada persidangan delegasi tahunan SUPP di ibu pejabatnya di sini, semalam.

Dr Sim turut menyeru warga Sarawak untuk memberi kepimpinan baharu SUPP lima tahun agar “dapat bekerjasama seiring dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem untuk memperjuangkan autonomi Sarawak, Sarawak untuk Sarawak dan penduduk Sarawak dalam Malaysia.”

Sambil menyatakan komitmen penuh dalam perkhidmatannya untuk semua rakyat Sarawak, Dr Sim menambah bahawa beliau bersedia mendengar segala masalah atau isu-isu dikemukakan sesiapa sahaja.

Pembangkang, katanya, sekadar pandai berkata-kata dan bijak memainkan sentimen manakala parti pemerintah Barisan Nasional yang melaksanakan rancangan dan mencari penyelesaian bagi masalah-masalah dihadapi masyarakat.

SUPP yang sebelum ini menerima mesej jelas daripada rakyat, katanya, perlu mengubah strategi dengan berusaha lebih gigih dan ikhlas serta mengutamakan kepentingan rakyat.

“Dengan perpaduan dan sentiasa bertindak dengan meletakkan kepentingan rakyat sebelum diri sendiri atau kedudukan masing-masing, saya percaya kita akan diberi peluang sekali lagi”, katanya.

Mengulas mengenai ‘45 Prinsip dan Tindakan Adenan,’ katanya, ia mencerminkan banyak dapat dicapai oleh Sarawak dalam jangka masa kurang daripada dua tahun selain membuktikan pemimpin yang benar-benar bertekad dalam mengutamakan kepentingan rakyat.

“Bayangkan berapa banyak lagi yang boleh dilakukan jika Adenan diberikan lima tahun lagi. SUPP bersyukur dengan peluang untuk bekerja rapat dengan YAB Ketua Menteri Adenan pada polisi seperti UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) dan penyelesaian masalah setinggan di Miri dan Bintulu,” katanya.

Lebih 300 delegasi yang hadir dari kesemua 48 cawangan termasuk cawangan baharu ditubuhkan selepas Persidangan Delegasi Tiga Tahun Sekali yang diadakan tahun lepas merangkumi Bukit Assek, Dudong, Bawang Assan, Pelawan, Nangka dan Mambong.

Dr Sim pada masa sama turut menyeru para pemimpin serta ahli-ahli parti untuk terus memberi tumpuan penuh terhadap matlamat dan hala tuju SUPP khasnya Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi.

“Kita tidak boleh hilang fokus iaitu PRN. Kita hanya mempunyai 120 hari lagi sebelum pilihan raya diadakan kerana ia bukan sekadar soal tewas atau bangkit bagi SUPP tapi penting bagi perwakilan kaum Cina dalam kerajaan BN Sarawak.

“PRN bukan sekadar batu loncatan bagi kerajaan BN Sarawak tetapi kepimpinan masa depan kerajaan BN Negeri,” katanya.

Dr Sim menambah, SUPP harus berorientasikan hasil berani dalam membangkitkan isu-isu tanpa rasa takut atau pilih kasih selain terus mentransformasi dan memperkukuhkan dalaman dengan mendekati ahli-ahli menerusi aplikasi media seperti WeChat dan WhatsApp serta laman web sosial.

Sambil mengakui parti itu menghadapi cabaran yang besar dalam beberapa tahun lalu katanya, parti tiada pilihan melainkan berkomunikasi dengan lebih baik dan mempercayai kepimpinan baharu untuk bergerak ke hadapan.

“Saya amat bersyukur dengan setiap rakan seperjuangan yang bekerja bersama-sama untuk 1SUPP bukannya dengan puak serantau.

“Anda boleh yakin bahawa transformasi parti dalaman kita hanya mempunyai satu pilihan, iaitu untuk berjaya tanpa pilihan untuk gagal. SUPP bukan lagi sebuah parti tauke tetapi sebuah parti dimiliki oleh ahli-ahli, dan untuk rakyat semua kaum daripada Sarawak“.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget