Majoriti rakyat di Telang Usan setuju, sokong Dennis dicalon semula mewakili mereka pada PRN kelak
MIRI: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem membayangkan akan mencalonkan semula penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Telang Usan Dennis Ngau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau berkata majoriti rakyat di konstituensi Telang Usan bersetuju dan menyokong Dennis dicalon semula mewakili mereka pada PRN kelak.
“Mereka sebulat suara mahu dan memilih Dennis Ngau mewakili mereka pada pilihan raya akan datang. Kita akan mempertimbang beliau di kerusi DUN Telang Usan,” katanya di sini semalam.
Terdahulu Adenan yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak menghadiri Dialog Tertutup Majlis Perjumpaan Ketua-Ketua Masyarakat dan Ketua-Ketua Kaum Kawasan DUN Telang Usan semalam.
Adenan berkata ketua masyarakat dan kaum dalam sesi dialog itu sebulat suara memilih Dennis sebagai calon pilihan raya kelak.
Sementara itu, Dennis ketika ditemui semalam berterima kasih kepada Ketua Menteri serta rakyat di kawasan Telang Usan kerana memberi kepercayaan sekali lagi kepadanya bertanding di kerusi terbabit.
“Saya secara peribadi berterima kasih kepada rakyat di kawasan Telang Usan kerana menyatakan persetujuan untuk mewakili mereka pada pilihan raya kelak.
“Dan sudah tentu terima kasih kepada Ketua Menteri yang turut bersetuju mempertimbang permintaan penduduk,” katanya.
Permohonan terhadap pencalonan semula Dennis diperkukuh dengan sokongan Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau dan Temenggung Elizabeth Deng.
Pada PRN 2011, Dennis Ngau mendapat majoriti 2,771 undi mengalahkan calon PKR Harrison Ngau Laing, calon SNAP, Kebing Wan dan Jok Ding yang bertanding atas tiket bebas.
Hadir sama pada sesi dialog terbabit ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Setiausaha Agung BN Sarawak Datuk Dr Stephen Rundi serta tetamu kenamaan lain.-Utusan Borneo

Post a Comment