Tidak cukup peruntukan punca sekolah daif


DEBAK: Tumpuan, perancangan drastik dan peruntukan besar amat diperlu untuk menaik taraf kemudahan dan bangunan sekolah yang uzur di seluruh negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohamad Razi Sitam berkata, usaha ini amat penting memandangkan kebanyakan bangunan sekolah di negeri ini berada dalam keadaan daif dan bangunan lama masih banyak dibina daripada struktur kayu.

“Peruntukan tidak mencukupi antara faktor atau masalah dihadapi bagi menaik taraf atau membina baharu sekolah daif di negeri ini dan memerlukan kos yang besar sama ada untuk naik taraf atau dibina baharu.

“Masalah dihadapi kita adalah apabila peruntukan diberi tidak mencukupi, hanya untuk projek kecil sahaja. Ini kerana sekolah daif memerlukan kos yang lebih besar untuk dibaiki atau dibina baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Gotong-Royong Perdana anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Betong dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Balingan di sekolah berkenaan dekat sini, baru-baru ini.

Razi menjelaskan, kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) harus mengutama pembinaan atau bina baharu bagi bangunan sekolah yang telah usang khususnya di kawasan pedalaman negeri ini dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) akan datang.

“Semua ini adalah asas dan jika kita mahu perbaiki prestasi pendidikan,kita harus bermula daripada asas iaitu keadaan sekolah serta kemudahan dinikmati anak-anak dan guru yang mengajar.

“Isu sekolah daif antara fokus utama Sarawak kerana jika di Semenanjung, agak sukar mencari sekolah daif berbanding Sabah dan Sarawak,” katanya.

Razi turut mengambil contoh SK Balingan sendiri, bangunan kelas dan pentadbiran yang sedia ada adalah memerlukan perhatian kementerian berkaitan untuk dimasukkan dalam senarai projek pembangunan RMK11.

“Begitu juga dengan keadaan SK Sebemban yang terletak 10 kilometer sahaja dari bandar Betong, kini berhadapan dengan hakisan teruk pada tebing sungai sehingga tiga bangunan utama sekolah berkenaan telah runtuh.

“Justeru,saya sangat berharap Kementerian Pendidikan Malaysia dan kerajaan persekutuan mengambil langkah yang wajar dan mengambil perhatian atas permasalahan yang berlaku di kedua-dua bangunan sekolah terbabit,” ujarnya.

Pada program tersebut,Razi turut menyumbang peruntukan peribadi sebanyak RM5,000 untuk keceriaan sekolah dan program lawatan murid tahun enam.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget