Siapa mesra Israel sekarang, pengguna media sosial berang ‘jabat tangan’ Najib-Netanyahu


Gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang berlegar di media sosial mengundang rasa kurang senang di kalangan pengguna Internet di Malaysia.

Seorang pemilik akaun Facebook dengan nama "Nikman Nik" menganggap perbuatan itu memalukan Malaysia sekali gus bercanggah dengan propaganda kerajaan yang sering menggambarkan bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai mesra Israel.

"Ha-ha..ini bebetul menconteng arang ke muka rakyat. Siapa mesra Israel sekarang? Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Ah Jib Gor (nama mesra Najib di kalangan netizen kaum Cina)," tulis Nikman Nik dalam ruangan komen Facebook pada berita mengenai pujian akhbar The Times Of Israel terhadap Najib.

Sentimen yang hampir sama turut lahir daripada seorang lagi pengguna akaun Facebook dengan nama "Foo Chek Gee" yang meninggalkan komen pada berita sama.
Beliau menganggap pertemuan itu menimbulkan persoalan akan keakraban Najib dengan negara Israel sewaktu parti pembangkang seperti DAP dimomokkan Barisan Nasional (BN) sebagai rapat dengan negara Yahudi itu.

"Siapa yang dekat dengan Yahudi? Najib atau DAP?" soal Foo.

Beliau dipercayai merujuk kenyataan Ketua Umno Bahagian Sri Gading Datuk Abdul Aziz Kaprawi yang sebelum ini mendakwa DAP ditaja Yahudi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Timbalan menteri pengangkutan itu berkata demikian sewaktu mempertahankan wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi yang dakwanya digunakan bagi melawan konspirasi Yahudi dan DAP.

Najib semalam dilaporkan mendapat pujian akhbar The Times of Israel yang menganggap perdana menteri ke-6 Malaysia itu sebagai "mesra" Israel berdasarkan ucapannya pada Perhimpunan Agung Pertubahan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Berita itu diterbitkan 2 hari selepas gambar Najib bertemu Netanyahu dimuatnaik menerusi akaun Flickr Netanyahu pada 1 Oktober.

Najib bagaimanapun menafikan bertemu Netanyahu dan berkata beliau sekadar "bertembung" dengannya.

Namun, pengguna laman mikro Twitter percaya yang Najib tidak sepatutnya bergambar dengan Netanyahu.

"Najib mesti membezakan antara kepentingan negara dan lepentingan peribadi. Dirakam bergambar bertukar-tukar usikan dengan Netanyahu TIDAK bagus," tulis @ATMology.

Namun, seorang pengguna Twitter lain, @FirdausAzil tiada masalah dengan gambar tersebut selagi Malaysia kekal dengan polisinya terhadap Israel.

"Saya tiada masalah Najib berjabat tangan dengan Netanyahu. Saya cuma ada masalah jika Malaysia menukar dasarnya atau menyebelahi Israel. Ia berbeza," tulis Firdaus.

Dasar luar Malaysia selama ini tidak mengiktiraf negara Israel sebuah negara kerana menindas penduduk Palestin.

Namun, kerajaan pimpinan Najib sekitar tahun 2012 dikritik pembangkang sebagai menjalinkan hubungan dengan Israel apabila didakwa menggunakan khidmat konsultan perhubungan awam APCO – didakwa didalangi tokoh-tokoh yang rapat dengan negara Yahudi itu. –The Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget