Tiada perpecahan dalam PKR, segalanya boleh bawa berbincang, kata Azmin


Mohamed Azmin Ali menafikan berlakunya perpecahan dalam PKR susulan penubuhan Pakatan Harapan, sebaliknya berkata isu berkaitan perkara itu dan petisyen yang ditandatangani 25 ahlinya masih boleh dibincangkan.

Timbalan presiden PKR itu bagaimanapun berkata, perkara itu merupakan masalah dalaman parti dan tidak seharusnya dibincangkan secara terbuka menerusi media.

"Apa masalahnya? Itu masalah dalaman parti. Kita tak bincang masalah dalaman parti secara terbuka," katanya selepas majlis perasmian Selangor Digital Creative Centre di Shah Alam hari ini.

"Ini proses biasa. Sebab, PKR bukan macam Umno. PKR ini sebuah parti reformasi yang sentiasa membincangkan perkara-perkara yang memberi kepentingan kepada anggota dan kepada rakyat.
"Kita terbuka untuk perbincangan dan demokratik," kata menteri besar Selangor itu, sambil menambah, tiada perpecahan berlaku dalam parti tersebut.

Mengulas dakwaan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah yang penubuhan Pakatan Harapan terlalu tergesa-gesa, Azmin berkata perkara itu masih terbuka untuk dibincangkan.

"Nanti kita bincang. Bincang dengan semua meliputi parti-parti politik. Siapa yang berminat nak jatuhkan Umno, boleh berbincang dengan kita," katanya.

The Malaysian Insider sebelum ini melaporkan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR akan bersidang Ahad depan selepas satu petisyen diserahkan kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menuntut perbincangan berkenaan pembentukan "mengejut" pakatan baharu itu

Maria berkata, penubuhan blok pakatan pembangkang itu diumumkan sebelum 3 parti pembangkang yang menyertainya – Parti Amanah Negara (Amanah), DAP dan PKR – menyediakan sesuatu yang konkrit untuk ditawarkan kepada rakyat sebagai alternatif kepada Barisan Nasional (BN).

Maria berkata, meskipun mengakui pertubuhan yang diketuainya dijemput menghadiri sidang meja bulat rundingan penubuhan Pakatan Harapan, keputusan seolah-olah sudah dibuat terlebih dahulu untuk menubuhkan pakatan itu sebelum perbincangan dijalankan. –The Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget