PKR nafi ramalan PAS, tidak mungkin berpecah kerana Pakatan Harapan


Pengarah Pilihan Raya PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail menepis ramalan PAS partinya akan berpecah kerana Pakatan Harapan sama seperti Pakatan Rakyat (PR) sambil menyifatkan gabungan politik baharu itu merupakan 'gabungan' yang kukuh.

Kesal dengan kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Saifuddin menafikan penubuhan Pakatan Harapan merupakan tindakan tergesa-gesa apatah lagi bakal menerima nasib sama seperti PR.

Sebaliknya beliau berkata, Pakatan Harapan ditubuhkan berasaskan prinsip saling hormat-menghormati, membuat keputusan bersama dan patuh dengan kata sepakat tersebut .

Katanya Pakatan Harapan turut menganggap parti sekutu mereka sebagai rakan susah senang (‘partners in struggle’) dan bukannya musuh yang perlu diserang dan diperlekeh dan paling penting meraikan perbezaan pandangan serta tidak ghairah menghukum sesama sendiri.
"PKR menginsafi setelah berpecahnya PR berlaku kelompongan (vacuum) yang perlu diisi segera. Kelompongan kepimpinan dan kelompongan platform bersama.

"Oleh demikian PKR melalui Presiden parti Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail mengambil inisiatif membentuk sebuah pakatan politik baharu yakni Pakatan Harapan.

"Ketika Tuan Ibrahim berpendapat bahawa langkah ini tergesa-gesa, PKR percaya rakyat terbanyak menantikan kelahiran Pakatan Harapan," katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.

Bekas setiausaha agung PKR itu berkata, ramalan Tuan Ibrahim kononnya parti reformasi itu akan berpecah gara-gara wujudnya sebuah "parti‎" yang ingin mendominasi seperti mana yang terjadi kepada PAS adalah tidak benar sama sekali.

"Pandangan ini meleset dan hanya terbit dari sebuah parti atau pemimpin yang mempunyai ‘siege mentality’.

"PKR yang lahir dari denyut nadi rakyat dengan agenda perubahan (reform) yang jelas, tidak akan terperangkap dengan ramalan sedemikian rupa," katanya.

Beliau yang mengulangi sekali lagi kekesalannya terhadap ramalan tersebut menyifatkan tindakan parti Islam itu sebagai keterlaluan terutamanya apabila PKR menganggap PAS sebagai rakan mereka.

"Biarpun perjalanan dan pengalaman PKR masih baru namun kita yakin PKR mampu melalui sedikit ujian kecil perbezaan pendapat dari kalangan pimpinannya dalam mendepani kelahiran Pakatan Harapan.

"Oleh itu meramalkan PKR bakal berpecah adalah keterlaluan apalagi kiranya datang dari parti yang menganggap PKR sebagai sahabat," katanya.

Terdahulu Tuan Ibrahim dalam kenyataannya memberikan amaran kepada PKR dengan menyatakan tidak mustahil bakal menerima nasib sama seperti parti Islam itu ketika Pakatan Rakyat berpecah, menyaksikan penubuhan parti serpihan, Parti Amanah Negara (Amanah).‎ –The Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget