Pengundi harus akur calon BN diumum Ketua Menteri

RASMI: Jabu menandatangani plak perasmian Pejabat Daerah Kecil Engkilili sambil disaksikan (dari kanan) Jack, Nyalau, Mussen, Dr Rayong dan Johnathan pada majlis itu.
Rakyat harus terima pengumuman dibuat Adenan siapa bakal calon BN bertanding di DUN Engkilili 
ENGKILILI: Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili harus akur dengan keputusan muktamad calon Barisan Nasional (BN) yang bakal diumum Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem bertanding di DUN Engkilili pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, rakyat di DUN Engkilili harus menerima pengumuman dibuat Adenan selaku pengerusi BN siapa bakal calon BN bertanding di DUN Engkilili pada PRN nanti.

Katanya semua komponen BN harus mengukuhkan perpaduan di kalangan parti serta bersedia menentang pembangkang pada PRN nanti.

“Kita semua harus menerima sesiapa sahaja calon BN bakal bertanding di DUN Engkilili bagi memberi mandat kepada BN Sarawak terus memerintah negeri ini,” katanya yang mewakili Adenan merasmikan Pesta Engkilili 2015 di pekan Engkilili di sini, semalam.

Wakil Rakyat DUN Engkilili ketika ini ialah Dr Rayong Ngipa yang mewakili Parti Rakyat Bersatu (UPP) dijangka dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi BN di DUN Engkilili pada PRN nanti.

Sehubungan itu, Jabu mengingatkan rakyat agar jangan terpengaruh dengan dakyah serta tipu muslihat pembangkang semata-mata untuk mendapat keuntungan politik mereka sendiri.

“Jangan mendengar janji manis dimainkan pembangkang, mereka hanya mengganggu keutuhan BN serta proses pembangunan dilaksanakan kerajaan BN di sini,” ujarnya.

Jabu berkata kerajaan BN meluluskan peruntukan RM3.6 juta bagi membina tujuh jambatan sepanjang jalan Hulu Skrang.

Di samping itu, DUN Engkilili juga menerima peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM200,000.

“Di sini saya umumkan bahawa RM3.6 juta dan RM200,000 peruntukan MRP tambahan untuk rakyat di DUN Engkilili,” katanya.

Turut hadir Ahli Parlimen Lubok Antu Datuk William Nyalau Badak, Dr Rayong, ADUN Batang Ai Malcom Mussen Lamoh, Residen Bahagian Sri Aman Johnathan Lugoh dan Pegawai Daerah Lubok Antu Jack Aman Luat.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget