Pemimpin wanita, ahli SABATI diseru jaga kebajikan, NGO luar bandar


KUCHING: Pemimpin wanita serta ahli Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) diseru untuk menjaga kebajikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kawasan luar bandar.

Menurut isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu, ahli SABATI yang telah banyak menjalankan kegiatan sosial seperti penubuhan Yayasan Jantung sebagai contoh, boleh memberi tunjuk ajar kepada NGO-NGO lain khasnya di luar bandar agar mereka dapat bergiat aktif dan seterusnya menyumbang kepada masyarakat di kawasn tersebut.

“Saya sedar wakil rakyat di kalangan wanita tidak ramai, sebab itu saya ingin mengajak sekali isteri-isteri wakil rakyat untuk bersama memantau dan membimbing NGO di kawasan luar bandar yang memerlukan bantuan kita,” katanya yang juga pengerusi SABATI.

Beliau berkata demikian pada Jamuan Minum Petang di lobi ibu pejabat Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah, Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai dan Pengarah DBKU Dr Saadiah Abdul Samat.

Jamilah pada masa sama turut menyeru agar warga Sarawak menghargai keindahan dan keunikan negeri ini.

Sarawak katanya, tidak kurang hebat berbanding destinasi pelancongan lain kerana memiliki Muzium Kucing, yang merupakan satu-satunya di dunia, selain terkenal dengan kebolehan masyarakat berbilang kaum hidup secara aman dan harmorni.

“Jangan hanya memuji negara luar kerana kita juga mempunyai kawasan yang cantik lagi indah,” katanya.

Majlis bertemakan ‘nostalgiaKU’ itu dianjurkan sendiri oleh Jamilah, bagi beramah mesra dengan tetamu jemputan di kalangan wanita yang tinggal di kawasan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) serta memberi ruang untuk mengenali DBKU selain melihat keindahan landskap persekitarannya.

Majlis itu dimeriahkan dengan pemberian dua cenderamata iaitu ‘Car Rubbish Bag’ yang diperbuat daripada bahan kitar semula seperti kain rentang atau sepanduk sekitar Kuching dan anak pokok bunga daripada DBKU kepada tetamu-tetamu, selain menerima cenderamata khas daripada Jamilah.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget