PAS buka kawasan baharu di Sibuti dan Limbang


MIRI: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) membuka dua kawasan baharu iaitu Sibuti dan Limbang menjadikan parti itu memiliki 11 kawasan seluruh Sarawak.

Sembilan kawasan PAS sekarang ialah Petra Jaya, Kota Samarahan, Santubong, Batang Sadong, Batang Lupar, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Penyerahan borang permohonan telah disampaikan kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Majlis Makan Malam Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan (PIHAK) 15.0 Negeri Sarawak di sini malam Sabtu lalu.

Pada majlis tersebut, Abdul Hadi menerima 251 borang permohonan keahlian baharu PAS Sarawak.

Dewan majlis dipenuhi dengan kehadiran seramai lebih 550 ahli dan tetamu untuk mendengar ucapan khas Abdul Hadi.

Antara pemidato lain termasuk Timbalan Presiden PAS Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, AJK PAS Pusat Ustaz Dr Riduan Mohamad Nor, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Ustazah Nuridah Salleh, Ketua Pemuda PAS Sarawak Mohammad Arifiriazul Paijo dan Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak Jofri Jaraiee.

Sempena munaqasyah ucapan dasar presiden, pembentangan turut disampaikan oleh Setiausaha Majlis Syura Ulamak (MSU) PAS Ustaz Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh serta AJK PAS Pusat dan Setiausaha PAS Sarawak Mukhtar Suhaili.

Turut hadir Mohamad Husain (AJK PAS Pusat), Khairul Nizam (Pengarah Program), AJK PAS Negeri, PAS kawasan-kawasan dan dewan-dewan.

Majlis turut diadakan untuk mengumpul dana persediaan menempuh Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan tahun depan.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget