Bekenu milik PBB

SIMBOLIK: Ahmad Lai (lima kiri) bersama tetamu kehormat lain menunjuk tanda bagus sebagai simbolik Program Memperkasa PBB Cawangan N.61 Bekenu dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PBB N.61 Bekenu.
Ahli mahu kerusi DUN Bekenu yang dipinjamkan kepada SPDP dikembalikan kepada PBB.
BEKENU: Majoriti ahli ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bekenu menuntut agar kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu yang dipinjamkan kepada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dikembali semula kepada PBB.

Perkara itu telah dibangkitkan pada Program Memperkasa PBB Cawangan N.61 Bekenu dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PBB N.61 Bekenu di Dewan Masyarakat Bekenu semalam.

Program dihadiri lebih 500 orang daripada 20 ranting PBB N.61 Bekenu terdiri daripada bahagian Bapa, Sayap Pemuda dan Sayap Wanita.

Dalam perjumpaan itu, majoriti bersuara dan bersetuju agar N.61 Bekenu diserahkan semula kepada PBB setelah dipinjamkan kepada SPDP sejak 2006.

Sementara itu, SPDP pula akan diperuntukkan kerusi baharu iaitu 11 kerusi yang akan diagihkan pada Pilihan Raya Negeri kelak.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai berkata, ahli PBB telah memberi kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Barisan Nasional setiap kali pilihan raya.

KEMBALIKAN: Ahmad Lai (lapan kanan) bergambar bersama ahli PBB ranting Bekenu yang menyuarakan sokongan mahu kerusi DUN Bekenu dikembalikan kepada PBB.
“Sudah tiba masanya jentera dipersiap untuk berdepan cabaran pilihan raya dan persiapan jentera ini harus bermula di peringkat ranting iaitu 20 ranting PBB Bekenu berkumpul hari ini,” katanya.

Ketua PBB Bekenu itu turut memberitahu bahawa cadangan ahli-ahli PBB menuntut kerusi Bekenu dikembalikan kepada PBB akan diketengahkan untuk pertimbangan pucuk kepimpinan BN Sarawak.

Menurutnya, ahli PBB adalah dominan di kawasan terbabit dan menurut sejarah kerusi terbabit adalah milik PBB sejak 1974 sebelum dipinjamkan kepada SPDP pada 2006.

“PBB merupakan parti yang banyak membawa pembangunan dan perubahan landskap di Bekenu dan ia termasuk kejayaan menjadikan daerah Baru Subis sebagai satu daerah penuh,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa ahli PBB memberi sokongan penuh kepada Ketua Menteri untuk terus menerajui Sarawak seterusnya bekerja keras mengekalkan kemenangan PBB pada PRN.

Turut hadir Ketua Penerangan PBB Sarawak Datuk Usup Sani Wahap, Kaunselor Jamali Basri serta ketua-ketua ranting PBB Bekenu.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget